Berita

44 individu ditahan langgar SOP PKPB

ISMAIL Sabri
- Diterbit 15 Mei 2020 8:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah individu yang melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus meningkat dengan penahanan 44 orang, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dilakukan selepas fasa nasihat serta amaran ditamatkan sebelum ini dan diteruskan mengenai tindakan undang-undang.

Menurut beliau, ia sekali gus membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan kepatuhan SOP serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Bermula dengan seorang, disusuli 10 orang kelmarin dan 44 orang semalam.

“Mereka ini boleh dikompaun RM1, 000 atau dibawa ke mahkamah yang boleh dikenakan denda RM1, 000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan mengikut Akta 342,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas