Berita

PKPD Selayang Baru tamat

- Diterbit 15 Mei 2020 8:14 AM MYT

PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketujuh di Selayang Baru, Gombak ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan penamatan itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan saringan terhadap penduduk yang terlibat.

Beliau berkata, kawasan yang terlibat adalah zon C iaitu Jalan 1 dan Jalan Indah 21.

“Selain itu, zon D merangkumi Jalan 3,5,7 dan 9, zon E (Jalan 2,4,6 dan 8) serta zon F meliputi Blok A, B, C Selayang Makmur,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menafikan PKPD dilaksanakan di Pasar Pudu dan sekitarnya bermula hari ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan lokaliti tersebut hanya menjalani kawalan diperketatkan secara pentadbiran.

“Tidak benar, belum lagi PKPD total lockdown iaitu tidak dibenarkan keluar masuk dan sebagainya.

“Kita letakkan kawalan namun masih dibenarkan membeli makanan dan sebagainya selain saringan kesihatan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas