Berita

Bina rumah harga bawah RM200,000, pastikan belia mampu beli

ANNUAR ketika sesi LIVE di Facebooknya hari ini.
- Diterbit 15 Mei 2020 7:32 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengorak langkah untuk menyediakan kemudahan perumahan mampu milik di bawah harga RM200,000 bagi membolehkan golongan belia memiliki kediaman pada usia muda.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, menerusi program Residensi Prihatin, pihaknya menyasarkan golongan belia dapat membeli kediaman pertama mereka seawal usia 25 hingga 35 tahun dengan bayaran bulanan di bawah RM1,000.

“Saya memahami golongan belia tidak membeli rumah tetapi menyewa hingga umur 40 tahun iaitu bila dana simpanan dan gaji tinggi baru ada kemampuan namun ada yang gagal mendapatkan pembiayaan bank kerana umur lanjut, hendak beli rumah murah pun tak dapat pembiayaan kerana usia.

“Di Wilayah Persekutuan menerusi insiatif KWP, kita akan lancarkan skim rumah yang  dibina dengan harga tidak lagi seperti rumah Wilayah berharga RM300,000 bagi golongan M40 dan B40 tetapi mereka tidak mampu beli.

“Rumah itu tidak perlu besar tetapi prakikal, yang penting B40 boleh beli rumah pertama seawal usia 25 hingga 30 tahun,'” katanya dalam sesi LIVE Facebook hari ini.

Sesi itu turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Wilayahku.

Annuar yang menyifatkan inisiatif itu didedikasikan khusus kepada belia di ibu kota berkata, setakat ini sebanyak tiga tapak projek itu telah dikenal pasti di Putrajaya manakala beberapa lokasi lagi sedang diteliti di Kuala Lumpur bagi membina rumah tersebut.

Beliau menyatakan, Kuala Lumpur menjadi tumpuan menyebabkan berlakunya migrasi ke kota untuk pelbagai tujuan seperti menyambung pengajian, bekerja dan berniaga.

“Saya rasa peranan belia tersangat penting dalam membina negara bangsa dan pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebelum ini terhutang budi kepada golongan belia yang gerakkan pembangunan.

“Bagaimanapun, mutakhir ini peluang perniagaan banyak sekali dikuasai bukan warganegara termasuk pendatang tanpa izin. Mereka kelihatan di mana mana sahaja sebagai pekerja dan pemilik kepada perusahaan tertentu, bukan sahaja warung dan pasar malah pasar raya, kedai runcit dan pusat hiburan.

“Kementerian sedang berusaha untuk pastikan peluang kerjaya dan berniaga mesti diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas