Berita

320 guru dibuang kerja

- Diterbit 22 Mac 2024 3:34 PM MYT

SERAMAI 320 guru telah dibuang kerja melibatkan isu disiplin dan integriti bermula daripada tempoh tahun 2019 sehingga akhir tahun 2023, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jelasnya, sepanjang tahun tersebut, KPM telah menerima sebanyak 1,303 pelaporan daripada Ketua Jabatan berkaitan ketidakhadiran melibatkan warga KPM.

“Daripada jumlah tersebut sejumlah 320 kes berkeputusan Buang Kerja berdasarkan Peraturan 38(g), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan &Tatatertib) 1993,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Pang Hong Liong (Labis-PH) yang bertanyakan mengenai llangkah-langkah proaktif yang telah diambil oleh KPM terhadap krisis guru ponteng atau ketidakhadiran guru sehingga tahap pelajar bertindak menyaman guru-guru ponteng yang berkenaan.

Fadhlina berkata KPM sentiasa peka dan cakna terhadap isu-isu melibatkan warganya terutama dalam isu disiplin dan integriti.

“Tindakan tegas sentiasa diambil selaras dengan punca kuasa yang ada termasuk tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A). 395),” katanya.

Jelas beliau kementerian tidak berkompromi dan toleransi sifar terhadap manamana pelanggaran tatatertib oleh warga kementerian yang mampu menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan khususnya proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah atau institusi-institusi pendidikan di bawah kementerian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas