Berita

Kes denggi menurun, 3 kematian dilaporkan

- Diterbit 22 Mac 2024 3:32 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 2,905 kes pada Minggu Epidermiologi ke-11 (ME11) bagi tempoh 10 hingga 16 Mac tahun ini berbanding 3,238 kes pada minggu sebelumnya dengan tiga kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME11 adalah sebanyak 38,524 kes berbanding 23,753 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 24 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME11 adalah sebanyak 161 lokaliti berbanding 178 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 161 lokaliti yang dilaporkan, 132 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (12); Pulau Pinang (8); Negeri Sembilan (4); Perak (2); manakala satu lokaliti masing-masing di Kedah, Sabah serta Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat tiga kes direkodkan pada ME11.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah sembilan kes. Terdapat satu wabak chikungunya dilaporkan pada ME11.

“Bagi survelan zika, sebanyak 492 sampel darah serta satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas