Berita

1,069 kes penderaan kanak-kanak direkodkan

- Diterbit 22 Mac 2024 3:54 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi statistiknya sehingga November 2023 mencatatkan kira-kira 1,069 kes penderaan kanak-kanak yang disebabkan oleh kecuaian ibu bapa dan penjaga.

Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata terdapat beberapa punca lain, secara amnya, kes penderaan kanak-kanak boleh terjadi ketika kanak-kanak berada dalam jagaan ahli keluarga sendiri.

“Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat juga kes yang berkaitan dengan perbalahan keluarga sebanyak 534 kes dan masalah kewangan sebanyak 427 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Sabri Azit (Jerai-PN) yang bertanyakan mengenai isu penderaan kanak-kanak semakin serius, apakah langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi mengenal pasti punca dan penyelesaiannya.

Katanya, KPWKM juga memandang serius akan kes penderaan ke atas kanak-kanak yang merupakan aset penting yang bakal mencorakkan masa hadapan negara bagi menangani isu penderaan kanak-kanak.

Menurut Nancy, bagi mengatasi isu ini, kementeriannya telah menyediakan beberapa langkah jangka pendek dan langkah jangka panjang.

“Antara langkah jangka pendek ialah elaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak. yang memberi pendedahan dan kesedaran kepada kanak-kanak, ibu bapa, guru dan komuniti supaya kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dapat diatasi.

“Kementerian juga menyediakan perkhidmatan Talian Kasih 15999 yang memberi perkhidmatan 24 jam dan Whatsapp Talian Kasih 019-2615999 juga bertindak selaku khidmat sokongan melalui khidmat kaunseling, pertanyaan dan aduan yang dikendalikan.

“Meningkatkan Peranan Organisasi Dalam Komuniti dengan mengaktifkan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK), Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) sebagai agen penyampai maklumat yang lebih berkesan iaitu dari kanak-kanak kepada kanak-kanak,” katanya.

Kata Nancy, antara langkah jangka panjang pula termasuklah meningkatkan jalinan kolaborasi yang aktif dan berkongsi maklumat bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO);

“Kementerian juga Mmenyediakan sumber dan sokongan holistik kepada mangsa dan memastikan pemeliharaan berasaskan keluarga adalah menjadi keutamaan.

“Menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memberikan perkhidmatan sokongan yang lebih komprehensif kepada kanak-kanak,” katanya.

Nancy berkata KPWKM turut menyambut baik pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan akan bekerjasama rapat untuk memastikan hak kanakkanak sentiasa dipelihara.

“KPWKM percaya bahawa ini adalah suatu permulaan ke arah yang lebih progresif bagi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas