Berita

26 kes kematian Covid-19 direkod

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH (tengah)
- Diterbit 27 Mac 2020 11:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Dua kes kematian Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 26 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sebahagian besar kematian adalah daripada golongan berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Kes kematian ke-25 merupakan kes ke-2,032 ialah lelaki tempatan berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Dia dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal pada 26 Mac pukul 6.55 petang,” ujar beliau dalam satu sidang media khas petang ini.

Sementara itu, kes kematian ke-26 merupakan kes ke-1,321 iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun.

“Dia adalah kontak rapat kepada kes positif kes ke-1,309. Dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac pukul 10.30 pagi,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, setakat hari ini kes keseluruhan Covid-19 adalah 2,161 kes dan 130 kes baharu.

“Seramai 54 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Sementara bilangan pesakit yang sembuh meningkat kepada 259 kes termasuk 44 pesakit yang telah sembuh dan discaj,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, sehingga pukul 12 tengah hari, daerah Kluang, Johor mencatatkan sebanyak 88 kes positif Covid-19 dengan 74 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas