Berita

Kini Mak Cik Kiah boleh senyum…

- Diterbit 27 Mac 2020 11:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Kisah tentang Mak Cik Kiah penjual pisang goreng yang diangkat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata mencuit hati.

Ini kerana dengan penjelasan secara santai sebegitu memudahkan rakyat memahami berapa jumlah bantuan dan penjimatan mereka peroleh melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

“Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Mak Cik Kiah penjual pisang goreng yang duduk di PPR Desa Tun Razak, suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang bawa GrabCar.

“Anak Mak Cik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Mak Cik Kiah akan dapat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keluarga Mak Cik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM600, bantuan pescara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.

“Kalau suami Mak Cik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak (Covid-19) berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4,200.

“Keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120,” katanya.

Muhyiddin berkata, anak Mak Cik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada
penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama 6 bulan sebanyak RM1,200.

Kata beliau, sekiranya Mak Cik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk
perniagaan pisang goreng dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, dia akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

“Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464. Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas