Berita

Malaysia dipilih sebagai pusat penyelidikan Covid-19

PETUGAS jururawat diutamakan dalam pengambilan 2,000 kontrak perubatan.
- Diterbit 27 Mac 2020 11:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Malaysia merupakan antara salah satu negara yang dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan penyelidikan ubat merawat Covid-19 yang dikenali sebagai Rendesivir.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Malaysia dipilih berikutan keupayaan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kajian klinikal.

“Kita sudah mempunyai platform dan penyelidik juga telah dilatih untuk menjalankan penyelidikan yang mana kita juga telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan penyelidikan yang baik,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, penyelidikan akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang telah dikenal pasti sebagai hospital Covid-19.

“Kita juga akan menjadi salah satu pusat untuk mengumpul data dan dalam masa yang sama memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19 di negara ini,” ujarnya.

Katanya lagi, perbincangan bersama WHO itu akan dijalankan secepat mungkin iaitu pada malam ini.

Dalam pada itu, KKM telah menjalankan Korean Rapid Antigen Test Kit pada hari ini dan sedang menunggu keputusannya.

“Jika ia memberi tindak balas positif dan ketepatan yang tinggi maka kita akan menambah pembeliannya. Semua bergantung kepada ketepatan kit tersebut,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas