Berita

200 pelajar Putrajaya terima bantuan

MURID sekolah riang selepas menerima kelengkapan persekolahan tahun hadapan.
- Diterbit 18 Disember 2021 2:00 AM MYT

BAGI meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan 2022/2023 pada tahun hadapan, Perbadanan Putrajaya (PPj) tampil membantu melalui program Jom Balik Sekolah.

Inisiatif murni yang dianjurkan ini adalah bagi membantu keluarga asnaf dan miskin (B40) Putrajaya dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak untuk kembali bersekolah.

MUHAMMAD AZMI

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, ia merupakan langkah baik bagi PPj dalam menyokong Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

“Sumbangan ini adalah untuk mensejahterakan kehidupan keluarga (B40) di bandar bagi memastikan anak-anak mereka ini dapat memulakan persekolahan seperti murid lain.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu lebihlebih lagi setelah sekian lama negara berdepan dengan wabak COVID-19, kita faham banyak keluarga yang terjejas dari segi sumber pendapatan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, PPj memandang serius perkara ini kerana ingin mengelakkan keciciran peluang pembelajaran dalam kalangan anak-anak golongan ini kerana kesempitan hidup keluarga.

“Dalam masa yang sama kita juga mahu meningkatkan keyakinan diri, jati diri serta memperkasakan keupayaan dan kebolehan kumpulan pelajar ini supaya berjaya dalam pelajaran,” ujar beliau.

Terdahulu, seramai 200 pelajar menerima bantuan persekolahan dalam satu majlis penyerahan sumbangan Jom Balik Sekolah Putrajaya 2021 bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Antara sumbangan yang diterima berupa baucar keperluan persekolahan bernilai RM100, beg sekolah, peralatan sekolah, pelitup muka serta kit ujian kendiri COVID-19.

Dalam pada itu, Muhammad Azmi berkata, pelbagai program bantuan secara edaran telah dilaksanakan PPj sepanjang tahun 2021 dengan objektif utamanya membantu golongan terjejas pendapatan akibat virus COVID-19.

“Antaranya sebanyak 874 bakul makanan termasuk sumbangan pada hari ini diserahkan kepada golongan yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“PPj juga telah melaksanakan serahan 8,000 pelitup muka kepada Majlis Perwakilan Penduduk, Persatuan Penduduk, 15, buah surau di Putrajaya, petugas barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan kepada murid-murid sekolah di sekitar Putrajaya.

“Selain itu, PPj turut bekerjasama dengan badanbadan korporat dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian berupa beras, gula, minyak, tepung, kicap dan sebagainya kepada 18 buah surau yang mempunyai sudut infaq di Putrajaya,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas