Berita

Busker, badut meriahkan malam Singgah Seni Putrajaya

MALAM Singgah Seni Putrajaya berlangsung pada 11 Disember lalu.
- Diterbit 18 Disember 2021 2:00 AM MYT

SETELAH sekian lama dataran Putrajaya sepi tanpa sebarang aktiviti malam, pada 11 Disember lalu, ia kembali diwarnai dengan kemeriahan program Singgah Seni
Putrajaya.

Julung kali diadakan, ratusan pengunjung dilihat membanjiri Dataran Putrajaya Presint 3 seawal pukul 6.30 petang untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik dan santai yang diatur sehingga
pukul 11.30 malam.

AYU Damit turut membuat persembahan di Malam Singgah Seni Putrajaya

Selain menampilkan persembahan tarian kebudayaan istimewa oleh Eka’tari Putrajaya yang terdiri daripada murid-murid sekolah di Putrajaya, pengunjung juga tidak ketinggalan diserikan dengan persembahan pentas oleh penyanyi popular, Ayu Damit.

Pelbagai aktiviti menarik menghangatkan lagi suasana malam tersebut antaranya persembahan dikir barat, persembahan seni silat, jualan dan pameran seni, persembahan busker dan badut.
Penat berjalan, pengunjung tidak melepaskan peluang menikmati aneka makanan lazat yang dijual melalui kenderaan saji di sekitar dataran.

Sementara itu, menurut Pengarah Komunikasi Korporat, Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak, PPj akan menganjurkan Singgah Seni Putrajaya pada tahun hadapan secara dwibulanan berkonsep santai.

“Ia mengandungi komponen buskers, aktiviti kesenian ringan, santai yang bercirikan seni dan budaya rakyat Malaysia. Singgah Seni diadakan bagi mempelbagaikan dan menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan pada waktu malam di Putrajaya dengan aktiviti yang sihat dan berunsur kekeluargaan,” ujarnya.

Di samping itu, menurutnya lagi, program tersebut juga dapat memberikan nafas baru kepada penggiat seni untuk bergerak aktif semula dan merancakkan aktiviti pelancongan di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas