Berita

2 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

Pesakit ke-24 Covid-19 ditempatkan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.
- Diterbit 28 Februari 2020 7:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dua kes baharu Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-24 melibatkan seorang wanita warga Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia.

Jelasnya, pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari dan ke Indonesia pada awal Februari lalu.

“Pesakit mempunyai gejala demam dan mendapat rawatan pada 17 Februari seeblum dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Februari. Dia disahkan positif Covid-19, semalam dan kini sedang dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bagi kes ke-25 pula, pesakit merupakan lelaki warga Itali berusia 54 tahun yang berkahwin dengan wargan Malaysia dan menetap di negara ini.

“Dia mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Februari lalu dan didapati mula mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Februari.

“Dia kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar bagi gejala yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut sejak 23 Februari sebelum disahkan terkena jangkitan Covid-19, hari ini dan kini dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas