PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) memutuskan untuk membuat sekatan masuk sementara terhadap semua pelawat dari Republik Korea.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekatan tersebut termasuk warga asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia.
Jelas beliau, ia juga meliputi pelawat yang transit melalui Malaysia.
“Warga Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia juga perlu menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu, penyediaan kaunter khas di Pintu-Pintu Masuk Antarabangsa Negara juga disediakan oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) untuk pelawat dari Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Covid-19 bersama pelbagai agensi melibatkan KKM, Kementerian Luar Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Imigresen dan agensi lain.
Sehubungan itu, Noor Hisham menasihati warga tempatan agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di Republik Rakyat China (seperti yang dimaklumkan sebelum ini), Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran.
Tambah beliau, tidakan tersebut berkuat kuasa serta merta. – WILAYAHKU