Utama

Sejajar dengan tema ‘Generasi Muda Mencorak Landskap Negara’ HLN2020 fokus penglibatan belia

SALAH seorang peniaga menceritakan tentang produknya semasa sambutan Hari Landskap Negara tahun lalu.
- Diterbit 28 Februari 2020 7:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi menggerakkan budaya kecintaan terhadap landskap dalam kalangan masyarakat, sambutan Hari Landskap Negara diadakan setiap tahun dengan kemuncak penganjurannya pada 3 Mac, sejak 22 tahun lalu.

Bagi sambutan Hari Landskap Negara 2020 (HLN2020) di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur yang bermula 28 Februari ini, tema yang diketengahkan adalah ‘Generasi Muda Mencorak Landskap Negara’.

Sejajar dengan temanya, HLN2020 lebih memfokuskan kepada penglibatan golongan muda dalam pembangunan landskap malah ia juga menepati Teras 1 Dasar Landskap iaitu ‘membudayakan kecintaan terhadap landskap’.

MEOR SAADON SOFIAN

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Meor Saadon Sofian Mior Razali berkata, penglibatan generasi muda adalah penting seperti dalam program Rakan Taman yang dianjurkan jabatan.

“Dalam rakan taman ini, mereka akan menyelenggara kawasan perumahan dan salah satu program adalah kebun bandar.

“Bila mereka masuk dalam kumpulan Rakan Taman, ia secara tidak langsung dapat membentuk gaya kepimpinan dalam diri mereka berikutan terdapat penglibatan daripada generasi berumur. Bila dah masuk, maka semangat persatuan akan timbul,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Meor Saadon Sofian memberitahu, HLN2020 juga diadakan bagi menyebarluas program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di samping meningkatkan kesedaran semua pihak untuk menggiatkan usaha bagi mencapai wawasan Negara Taman Terindah.

Menurut beliau, bagi menggalak dan memeriahkan lagi sambutan, pelbagai aktiviti disediakan untuk semua golongan masyarakat antaranya pertandingan melukis, gubahan bunga, senam robik, jualan produk landskap di samping kehadiran ‘food truck’.

Katanya, seminar Expert Talk juga diadakan yang mana topik berkaitan landskap dan hortikultur hiasan akan dibentangkan pakar-pakar bidang seni landskap.

“Kita juga mengadakan Larian HLN2020 yang sudah mendapat penyertaan daripada 2,000 pelari. Menariknya, semua aktiviti yang disediakan adalah percuma melainkan yang melibatkan jualan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Meor Saadon Sofian berharap agar setiap program yang diadakan atau dianjurkan jabatannya diteruskan oleh pihak-pihak bertanggungjawab seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti.

Ini kerana katanya, setiap program yang disediakan Jabatan Langskap sebelum ini, tidak mempunyai kesinambungan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas