Berita

152 laporan palsu diterima – Polis Sentul

KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Polis (ACP) Beh Eng Lai. Kredit foto: The Star
- Diterbit 28 Disember 2022 5:19 AM MYT

IBU Pejabat Polis Daerah Sentul menerima sebanyak 152 laporan polis palsu di mana 146 laporan berkaitan kejadian jenayah samun dan ragut, manakala enam laporan yang lain adalah berkaitan kehilangan kenderaan pada tahun ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Polis (ACP) Beh Eng Lai, kebanyakan laporan polis tersebut melibatkan individu yang kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) dan yang ingin menuntut pampasan perlindungan insuran kenderaan.

“Hasil siasatan polis mendapati individu yang membuat laporan palsu tentang kejadian ragut dan samun adalah semata-mata untuk mengelakkan diri mereka daripada dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Menurut peruntukan JPN seseorang yang kehilangan kad pengenalan untuk kali pertama akan dikenakan denda RM100, kali kedua adalah RM300 manakala kali ketiga dan seterusnya akan didenda sebanyak RM1,000 kecuali kehilangan kad pengenalan itu adalah disebabkan oleh perlakuan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Eng Lai berkata laporan palsu tentang kehilangan kenderaan pula adalah disebabkan oleh pemilik yang ingin membuat tuntutan palsu daripada syarikat perlindungan insuran namun pada hakikatnya kenderaan tersebut tidak hilang.

“Siasatan pihak polis mendapati terdapat beberapa punca menyebabkan pemilik kenderaan membuat laporan palsu antaranya ialah kenderaan terlibat dengan bencana banjir. Kos pembaikan yang tinggi menyebabkan pemilik memilih untuk membuat laporan palsu bagi tujuan pembaikan kenderaan tersebut.

“Selain itu, terdapat segelintir pemilik juga menyatakan bahawa kenderaan milik mereka telah hilang sedangkan ianya telah dijual. Terdapat juga individu yang tidak mahu memulangkan kenderaan yang telah dipinjam dan menjadikan alasan hilang bagi membolehkan mereka terus menggunakan kenderaan tersebut,” katanya.

Jelas beliau, kesahihan dan kebenaran setiap laporan polis yang dibuat akan diketahui selepas pihaknya menyiasat lebih lanjut berkaitan dengan apa dilaporkan oleh pengadu.

“Pihak polis memandang serius terhadap perkara ini kerana individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuat laporan palsu akan membazirkan masa, tenaga pihak polis dan wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang tidak wujud.

“Sepanjang tahun ini, kita telah membuka sebanyak 152 kertas siasatan dan kesemuanya telah didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” tambahnya.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang laporan palsu yang dilaporkan. Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat tentang perkara di atas boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-4048 2222,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas