Berita

KBS teliti kaedah terbaik tangani isu berbangkit atlet, persatuan sukan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) ambil kira maklum balas mengenai isu-isu yang disuarakan oleh persatuan sukan dan para atlet negara.
- Diterbit 28 Disember 2022 5:40 AM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan dihadapi termasuk isu berkaitan kebajikan atlet seperti yang disuarakan persatuan sukan dan para atlet negara dalam sesi dialog awam baru-baru ini.

Menurut kenyataan KBS, pihaknya mengambil kira segala maklum balas dan akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan cadangan tersebut pada masa hadapan.

“Lebih 300 atlet dan 100 persatuan sukan telah berkongsi maklum balas mereka mengenai isu tersebut melalui beberapa siri dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli.

“Sesi dialog awam yang diadakan sebanyak empat kali secara tertutup pada 18 Disember, 22 Disember dan 23 Disember 2022 itu bertujuan untuk membolehkan para atlet dan persatuan sukan meluahkan pendapat mereka secara terbuka.

“Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah adalah mengenai kebajikan atlet khususnya selepas bersara dan selepas kecederaan; akses kepada kemudahan latihan; peluang terhad untuk menyertai pertandingan kompetitif termasuk keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik antara pelbagai kementerian,” ujar kenyataan tersebut.

Sesi dialog awam yang berlangsung selama tiga hari itu telah dihadiri seramai 140 atlet pada sesi pertama, 18 Disember manakala pada sebelah pagi 22 Disember, 180 atlet dan sebelah petang pula disertai oleh 91 badan sukan. Sesi terakhir pada 23 Disember pula dihadiri oleh 15 badan sukan yang mewakili atlet kurang upaya (OKU).

Para atlet yang hadir mewakili pelbagai jenis sukan termasuk olahraga; seni mempertahankan diri; bola sepak; renang dan gimnastik manakala persatuan sukan termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia; Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia; Persatuan Sukan Terjun Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas