Berita

152 kes baharu Covid-19, catat kematian ke-34

NOOR HISHAM pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini. Foto Facebook KKM
- Diterbit 29 Mac 2020 12:34 PM MYT

PUTRAJAYA – Tujuh kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah yang maut meningkat kepada 34 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 152 pesakit baharu positif Covid-19 dikenal pasti menjadikan keseluruhan 2,470 kes.

“Ketika ini, 73 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 52 menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar  di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, bilangan pesakit yang sudah sembuh dan dibenarkan keluar hospital adalah seramai 68 pesakit.

“Paling tinggi setakat ini. Jumlah keseluruhan telah sembuh dan discaj 388,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, berdasarkan kematian terbaru ini, enam darinya mempunyai latar belakang sakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, mangsa ke-28 adalah warga emas berusia 91 tahun dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac dan disahkan meninggal dunia semalam.

“Mangsa ke-29 dan 30 juga merupakan warga emas, masing-masing berusia 64 dan 76 tahun disahkan meninggal dunia malam semalam manakala mangsa ke-31 adalah lelaki berusia 27 tahun yang juga meninggal dunia malam semalam.

“Mangsa ke-32 membabitkan lelaki berusia 50 tahun dan meninggal pada pukul 7.44 malam semalam manakala mangsa ke-33 yang meninggal malam semalam juga didapati mempunyai sejarah perjalanan ke India.

“Mangsa ke-34 yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, berusia 77 tahun disahkan meninggal pagi tadi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas