Berita

Dua zon di Selangor mungkin kena PKPD

ANGGOTA trafik mengawal sekatan jalan raya di bawah PKP di Petaling Jaya.
- Diterbit 29 Mac 2020 1:04 PM MYT

PUTRAJAYA – Dua zon di Selangor mungkin akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berikutan mempunyai taburan kes Covid-19 yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu perlu memandangkan peningkatan situasi semasa Selangor yang mencatatkan jumlah kes yang tertinggi di Malaysia.

“Kita lihat zon mana paling tinggi sekali, kita sedang melihat satu atau dua zon yang mungkin akan diambil tindakan sama seperti di Simpang Renggam.

“Empat daerah di Selangor mencatatkan jangkitan kes Covid-19 tertinggi iaitu Petaling Jaya dengan 209 kes, Hulu Langat (206), Gombak (57) dan Klang (51), yang menjadikan kawasan itu tergolong dalam zon merah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 152 pesakit baharu positif Covid-19 dikenal pasti menjadikan keseluruhan kes 2,470 dengan 34 kematian.

Ketika ini, 73 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 52 menggunakan bantuan alat pernafasan.

Kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor berkuat kuasa mulai tengah malam 27 Mac hingga 9 April selepas 61 daripada penduduknya dikesan positif Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas