Berita

Annuar terima teguran tiada penjarakan sosial dalam operasi di Seri Petaling

ANNUAR ketika meninjau operasi besar-besaran disinfeksi di sekitar Masjid Seri Petaling semalam. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 29 Mac 2020 11:00 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerima teguran bahawa penjarakan sosial tidak diamalkan ketika beliau melancarkan operasi disinfeksi besar-besaran di kawasan Seri Petaling di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan bersetuju dengan teguran tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu peringatan yang baik.

“Walaupun semua yang ada semalam itu adalah petugas tetapi amalan penjarakan sosial tidak dilakukan dengan efektif.

“Kadang-kadang saya juga ditegur adakan mesyuarat dalam bilik, kita tidak amalkan penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar secara live di Facebooknya hari ini.

Annuar berkata, amalan penjarakan sosial perlu dipatuhi selain kaedah-kaedah lain bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19.

“Banyak orang tidak tahu kalau ke pasar jika seseorang itu pembawa virus yang tidak kita kesan, apa barang yang dia sentuh ia akan sebarkan (virus).

“Tadi ada permohonan untuk pasar tani dibuka semula tetapi kalau tengok cara orang kita membeli barang, mereka akan pilih barang dan pegang.

“Sedangkan peniaga sepatutnya bungkus siap-siap mengikut berat yang ditentukan,” katanya.

Katanya, dalam keadaan ada larangan berhimpun di rumah-rumah ibadah termasuk masih ada pihak secara senyap mendirikan majlis berjemaah kerana mungkin mereka tidak merasa apa-apa kebimbangan tentang jangkitan virus tersebut.

“Tetapi Kementerian Kesihatan ada rekod, dari hanya seorang imam hadir ijtimak tabligh sebabkan berbelas orang makmum sudah terkena jangkitan,” katanya.

Justeru beliau merayu agar masyarakat memandang serius kerana usaha memerangi Covid-19 masih lagi jauh.

“Kita belum memenangi perang ini, maka kita mahu seluruh rakyat dan warga kota yang tinggal dalam kepadatan pembangunan dan sering berkunjung ke pasar raya, amalkan dan patuhilah arahan yang diberikan Kementerian Kesihatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas