Agama

140 pelajar PMDIC jalani bengkel amali mutawwif di Mekah, Madinah

||||||
- Diterbit 27 Oktober 2022 11:12 AM MYT

SERAMAI 140 pelatih dan pegawai pengiring daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) Kampus UITM Kota Samarahan, Sarawak akan melaksanakan bengkel di Mekah dan Madinah sebagai melengkapkan Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah & Ziarah pada 27 Oktober ini.

Bengkel ini dilaksanakan bagi memenuhi agenda PMDIC untuk melahirkan mutawwif profesional di mana pelatih-pelatih yang terlibat diberikan pendedahan serta pengalaman sebenar sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

ABD. Halim berharap para pelatih PMDIC dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang berlangsungnya bengkel mutawwif di Mekah dan Madinah.

Pengarah Urusannya, Abd Halim Ikhsan berkata, jurusan ini merupakan yang pertama di Malaysia mahupun dunia yang memfokuskan kerjaya mutawwif profesional.

“Program ini mewajibkan pelatih untuk menduduki bengkel di Mekah dan Madinah bagi meningkatkan lagi pengalaman sebenar sebelum bergelar seorang mutawwif yang profesional.

“Melalui program ini, pelatih akan mewarnai dan memberi sumbangan terbesar dalam Industri Umrah khususnya di Malaysia serta di seluruh Negara Antarabangsa.

“Sepanjang bengkel, pelatih akan melakukan sendiri urusan yang melibatkan kerja- kerja di lapangan.

“Misalnya melakukan sendiri urusan taklimat perjalanan dari KLIA, urusan check in bagasi di KLIA sehingga check in Hotel, hal-hal berkaitan imigresen, ziarah dalaman di Madinah, ziarah luaran Madinah, ziarah luaran Mekah dan segala yang melibatkan ibadah umrah,” katanya.

Abd. Halim juga berharap ilmu yang dipelajari dapat membantu para pelatih di lapangan sebenar sebagai mutawwif.

“Cabaran yang dihadapi pelatih untuk bengkel yang julung-julung kali ini adalah mereka sendiri tidak mempunyai pengalaman ke Mekah dan Madinah. Tambahan pula dengan keadaan norma baharu.

“Tetapi dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari selama satu tahun lebih di PMDIC kampus UiTM Samarahan mudah-mudahan dapat membantu mereka menjayakan bengkel dengan cemerlang seperti yang diharapkan walaupun tanpa pengalaman.

“Skop pembelajaran ini juga diperluaskan dengan menambah subjek pegurusan pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad hanya boleh membawa jemaah ke Mekah dan Madinah sahaja, malah boleh jadi Muslim Tour Leader yang boleh membawa pelancong ke seluruh dunia,” ujarnya.

PELATIH-pelatih PMDIC yang terlibat diberikan pendedahan serta pengalaman sebagai mutawwif sebenar sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
SUASANA di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Selain mendalami kerjaya sebagai mutawwif, para pelatih turut didedahkan dengan subjek asas keusahawanan dalam menyediakan pakej atau penjualan produk, TITAS, asas Bahasa Arab serta subjek asas Bahasa Inggeris.

“Program ini juga berkolaborasi dengan universiti awam bagi subjek tambahan yang dipelajari bagi memantapkan pengajian sepanjang di PMDIC.

“Lanjutan daripada pembelajaran teori, pengajian ini diteruskan lagi dengan bengkel di Tanah Suci sebelum menghadapi latihan di Industri Pelancongan Umrah dan Ziarah selama 4 Bulan.

“Justeru, melalui konsep asas dan teori yang dipraktikan oleh pelatih, nescaya pengalaman ini mampu meningkatkan lagi mutu kebolehpasaran graduan melalui peluang kerjaya dalam bidang mutawwif yang profesional dan lebih terancang,” tambahnya lagi.

Pada tahun hadapan, seramai 500 pelatih PMDIC dari beberapa kampus lain iaitu UiTM Mukah, UiTM Melaka, SiDMA Kuching, SiDMA Sabah, UTHM, PMDIC kampus UPSI dan UCYP akan terbang melaksanakan bengkel di Mekah dan Madinah melalui travel agency di seluruh Malaysia.

Seiring dengan itu, PMDIC juga akan melebarkan sayapnya ke beberapa negara ASEAN antaranya Singapura, Brunei dan Indonesia. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas