Artikel

Pelajar asah bakat, kreativiti melalui cerpen

RADZI bersama dengan sebahagian guru dan pelajar-pelajar dalam Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Presint 16 Putrajaya, baru-baru ini.
- Diterbit 3 November 2022 4:35 AM MYT

DALAM menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang berbentuk konstruktif dan kontekstual melibatkan pengembangan dan kemahiran berpusatkan murid, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya, Sabtu lalu.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, bengkel tersebut merupakan inisiatif berterusan dan usaha komited pihak KPM dalam memastikan pelajar khususnya Tahun 4, 5 dan 6 yang mempunyai bakat menulis mendapat peluang dan ruang untuk mengasah kemahiran masing-masing.

PELAKSANAAN bengkel dan penerbitan buku merupakan satu usaha untuk mengasah bakat murid seawal usia muda.

“Pelaksanaan bengkel dan penerbitan buku ini merupakan satu usaha untuk mengasah bakat murid seawal usia muda, menyuburkan minat mereka, menyerlahkan potensi sedia ada serta menggalakkan lebih ramai murid kita untuk membuat eksplorasi secara kreatif.

“Selaras dengan transformasi sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan kepada pendidikan yang tidak membebankan, program sebegini memberi peluang kepada murid untuk membina keupayaan diri dalam suasana yang menyeronokkan selain belajar secara kreatif,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen Dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan.

Terdahulu, program rintis ini telah dilaksanakan di Kelantan melibatkan 60 orang murid sekolah rendah dan telah melahirkan 31 pengkarya cilik melalui penerbitan buku antologi Cerpen Penulis Cilik: Semanis Jala Mas.

“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ITBM, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Majlis Guru Besar Kelantan dan sekolah-sekolah rendah di Kelantan atas kejayaan pelaksanaan program rintis ini.

“Sesuai dengan tema penulisan ini iaitu silang budaya, maka saya menekankan supaya pemilihan murid yang menyertai bengkel ini merangkumi semua kaum di Malaysia supaya kandungan buku lebih kaya dan sesuai dengan kepelbagaian budaya dan kaum di negara ini,” kata beliau yang menyokong penuh program tersebut serta menyeru semua pihak bersama-sama menyegerakan pelaksanaannya di seluruh negara.

RADZI beramah mesra dengan sebahagian pelajar-pelajar selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Presint 16 Putrajaya.

Mengulas lanjut, bagi mengangkat murid sebagai pengkarya, menzahirkan silang budaya serta mencitrakan kekayaan budaya Malaysia, koleksi lengkap buku mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan ini wajar ada di semua pusat sumber sekolah di Malaysia.

“Dalam setiap program dan inisiatif yang dirancang, agenda pembangunan pendidikan negara perlulah dijadikan keutamaan. Ini bagi menjamin generasi masa hadapan yang berkualiti dan cemerlang dalam pelbagai aspek dan mampu bersaing di persada dunia,” tambah beliau buku ini akan diedarkan ke seluruh sekolah rendah di Malaysia dengan kerjasama KPM.

PELAKSANAAN BENGKEL SECARA BERTERUSAN

DALAM masa sama, Radzi memaklumkan bengkel ini akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara dengan penglibatan 16 Jabatan Pendidikan Negeri dan Wilayah Persekutuan selepas projek rintis yang dilaksanakan di Kelantan Ogos lalu menerima sambutan yang baik.

“60 murid akan menyertai bengkel yang dilaksanakan pada peringkat negeri dengan jumlah keseluruhan seramai 960 orang bagi seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah ini, kita dapat mengangkat sekurangkurangnya 480 murid sebagai pengkarya cilik apabila hasil penulisan terbaik mereka dipilih dan didokumentasikan dalam 16 buah buku mewakili negeri masingmasing,” kata beliau.

Jelas beliau, penerbitan buku ini merupakan satu wadah kepada murid dalam berkarya, sekali gus mengoptimumkan potensi bakat mereka selari dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Usaha ini mewujudkan ruang dan peluang untuk menggilap bakat dan potensi murid, terutama dalam penulisan kreatif,” tambah beliau yang berharap buku ini akan memberi manfaat dalam pemerkayaan khazanah ilmu dan menginspirasikan murid untuk terus berkarya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas