Berita

135 pesakit Covid-19 pulih, 53 kes baharu dikesan

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 18 April 2020 1:26 PM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah kes baharu Covid-19 menurun hari ini dengan 54 kes direkodkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,305.

“Pesakit pulih Covid-19 terus meningkat dengan terbaru 135 pesakit dibenarkan keluar wad hari ini.

“Ini menjadikan pesakit pulih sepenuhnya sebanyak 3,102 kes, kira-kira 58.5 peratus,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 49 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat dua kes kematian baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 88 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Kes kematian ke-87 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Kes kematian ke-88 pula merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun. Pesakit telah datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru-paru ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas