Berita

Lapan pakar perubatan China selamat tiba

Kongsi pengalaman bagi membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19
PASUKAN pakar perubatan China tiba di KLIA pagi tadi.
- Diterbit 18 April 2020 9:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Pasukan pakar perubatan yang dihantar kerajaan China bagi membantu Malaysia dalam menangani wabak Covid-19 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi ini.

Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan wakil Kementerian Kesihatan (KKM).

Mereka terdiri daripada Naib Presiden bagi Perubatan Tradisional Hospital Guangdong, Dr. Li Jun; Penolong Ketua Pakar Perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr. Wen Miaoyun; Pengarah Kawalan Jangkitan Nosocomial Hospital Guangdong, Dr. Zhang Youping dan Ketua Pakar Perubatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong, Dr. Liu Tao.

Selain itu ialah Penolong Ketua Juruteknik Virologi, Institut Kesihatan Awam Guangdong, Dr. Sun Jiufeng; Penolong Ketua Pakar Perubatan Jabatan Respiratori dan Perubatan Kritikal, Dr. Yang Shifang; Penolong Pakar Perubatan Jabatan Jangkitan Hospital Guangdong dan Psikologis Kanan Hospital Guangdong, Dr Liu Xiangxin.

Bai Tian berkata, ketibaan pasukan itu merupakan satu lagi simbol jalinan persahabatan erat Malaysia-China seperti mana kata-kata “kawan sebenar ialah mereka yang hadir ketika saat memerlukan”.

“Sejak berlaku wabak Covid-19, kerajaan Malaysia dan pelbagai pihak telah memberikan sokongan dalam memerangani pandemik tersebut.

“Virus tidak mengenal sempadan, menjadikan ia sebagai medan perjuangan untuk semua manusia. Kita perlu bersatu untuk memerangi virus tersebut dengan cara berkesan,” katanya yang dipetik dari laman Facebook Kedutaan China di Kuala Lumpur hari ini.

China sebelum ini telah memberikan sokongan kepada seluruh dunia termasuk Malaysia dengan berkongsi pengalaman, sediakan bekalan peralatan dan bantuan lain.

Bian Tian berkata, pasukan pakar perubatan yang diuruskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China itu melibatkan lapan pakar yang dipilih oleh suruhanjaya kesihatan di Wilayah Guangdong.

“Mereka mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti respirologi, rawatan rapi, psikiatri, penyaki berjangkit, penganalis data, virologi dan perubatan tradisional Cina (TCM).
“Ada antara mereka pernah terlibat dalam usaha memerangi Covid-19 di Wilayah Hubei,” katanya.

CHINA turut menghantar bantuan peralatan perubatan kepada Malaysia.

Difahamkan, pasukan pakar itu dijadual berada di negara ini selama dua minggu dan dalam tempoh itu mereka juga akan berada di Malaysia Timur bagi berkongsi pengalaman mereka.

KKM dan petugas perubatan di seluruh Malaysia dijangka dapat memanfaatkan kehadiran pasukan pakar itu di sini.

“Kami mempunyai penuh keyakinan kepada Malaysia dalam memerangi Covid-19 dan harap Malaysia akan mencapai kemenangan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Li Jun yang mengetuai pasukan itu berkata: “Saya amat terharu dengan sambutan baik daripada Malaysia. Kami datang dengan semangat kemesraan China kepada Malaysia.

“Kami akan menggunakan sepenuh masa sepanjang berada di sini untuk melakukan apa yang termampu bagi membantu Malaysia bersama-sama memerangi Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas