Berita

Covid-19: Kluster baharu dikesan di Sabah

- Diterbit 18 April 2020 1:30 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu di Sabah yang melibatkan petugas kesihatan di tiga hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 31 kes yang telah dikenal pasti positif Covid-19 termasuk dua kes baharu membabitkan Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

Menurut beliau, kesemua kes masih dalam rawatan selain kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan serta lapan ahli keluarga atau orang awam.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 dilakukan pada 2 April lalu terhadap salah seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2 adalah positif.

“Petugas ini didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya juga telah menjalankan siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan tersebut.

“Jangkitan Covid-19 telah didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga. Kesemua 31 kes masih berada di dalam wad dan adalah berada dalam keadaan stabil.

“Tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit Covid-19,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas