11 kluster baharu COVID-19 dikesan termasuk di pusat dialisis, kenduri kahwin

11 kluster baharu COVID-19 dikesan termasuk di pusat dialisis, kenduri kahwin

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini, termasuk melibatkan kluster di sebuah pusat dialisis di Melaka dan penganjuran majlis perkahwinan di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan kluster lain dikesan masing-masing dua di Selangor dan Kuala Lumpur, tiga di Johor dan masing-masing satu di Kelantan dan Kedah.

Beliau berkata kluster di Melaka iaitu Kluster Dialisis Malim dikesan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah melibatkan kes indeks (kes ke-130982) yang dilaporkan positif pada 8 Jan hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti kes-kes dalam kluster ini dilaporkan iaitu di sebuah pusat dialisis yang terletak di Jalan Malim, Balai Panjang, Melaka dan sehingga kini, 75 individu telah disaring dengan 13 kes positif dikesan,” katanya pada sidang media perkembangan jangkitan COVID-19 di KKM, hari ini.

Di Negeri Sembilan, Kluster Kampung Tengah membabitkan majlis perkahwinan dikesan di daerah Seremban melibatkan kes indeks (kes ke-127016) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Jan hasil saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, sejumlah 130 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Sementara itu di Selangor, Kluster Taman Integrasi Kluster iaitu kluster di tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor dengan kes positif dilaporkan bermula pada 10 Jan hasil saringan bersasar di sebuah kilang.

Katanya, nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja kilang tersebut di Rawang Integrated Industrial Park dan sehingga kini, sejumlah 250 individu disaring dengan 119 kes dikesan positif.

Katanya, kluster di tempat kerja adalah Kluster Jalan Ijuk melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Langat di Selangor.

“Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula pada 10 Jan hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Ijuk 26/5, Hicom Industrial Estate, Shah Alam dan sehingga kini sejumlah 262 individu disaring dengan 99 kes dikesan positif.

Dr Noor Hisham berkata di Johor, kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Rami Kluster di daerah Muar melibatkan kes indeks (kes ke-132,549) dilaporkan positif pada 9 Jan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Saringan seterusnya di tempat kerja kes indeks di sebuah kilang di daerah itu mendapati 111 lagi individu dikesan positif COVID-19 dan sehingga hari ini, sejumlah 241 individu disaring dengan 112 kes dikesan positif,” katanya.

Juga di negeri itu, Kluster Kota dikesan hasil saringan individu bergejala di daerah Kota Tinggi yang sehingga kini 57 kes positif wabak itu dilaporkan, manakala Kluster Tanjung Megah iaitu kluster di tempat kerja di daerah Pontian dikesan hasil saringan kontak rapat dan susulan itu, 12 lagi kes positif direkodkan sehingga kini bagi kluster tersebut.

Di Kuala Lumpur, dua kluster di tempat kerja masing-masing melibatkan dua syarikat pengawal keselamatan dikesan hasil saringan bersasar, iaitu Kluster Jalan Kasturi dengan 16 kes positif di Lembah Pantai dan Kepong, manakala Kluster Jalan Tamby (23 kes positif) juga di Lembah Pantai.

Juga kluster di tempat kerja iaitu Kluster Taman Batik Kluster dikesan di daerah Kuala Muda dan Baling, Kedah melibatkan kes indeks (kes ke-135,722) dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Jan hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini, sembilan kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kluster itu,

Dr Noor Hisham berkata Kluster Bukit Bakar melibatkan daerah Machang di Kelantan dengan kes indeks (kes ke-115,060) dilaporkan positif pada 1 Jan hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Beliau berkata pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 dikesan di negara ini sebanyak 616 kluster dengan bilangan kluster aktif kini 270, sementara dua kluster diisytihar tamat iaitu Kluster Tapak Bina Condong di Kuala Lumpur dan Kluster Seri Tasik di Perak. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS