Ingkar PKP: 253 individu ditahan semalam – Ismail Sabri

Ingkar PKP: 253 individu ditahan semalam – Ismail Sabri

SERAMAI 253 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 252 orang dikompaun manakala seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah tidak memakai pelitup muka (115), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksana bagi mengawal sempadan negara semalam berjaya menahan 18 pendatang tanpa izin, tiga tekong serta merampas tujuh kenderaan darat.

Selain itu, sebanyak 111 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam.

Beliau berkata pasukan petugas operasi pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP telah membuat 47,237 pemeriksaan semalam.

Mengenai tapak binaan, beliau berkata anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 19 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan.

Ismail Sabri berkata pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 747 premis perniagaan seperti peruncit (552), pemborong (166) dan pengilang (29).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Selaras dengan pelaksanaan PKP di enam negeri, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam negeri lain dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di dua lagi negeri yang bermula hari ini, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri, mematuhi SOP, mengamalkan kawalan kendiri serta mematuhi arahan pihak berkuasa. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS