Artikel

100 hari Ismail Sabri dan ‘Keluarga Malaysia’

ANTARA inisiatif kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail
- Diterbit 10 Disember 2021 4:05 AM MYT

PADA 28 Ogos 2021, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera, mengambil alih jawatan selaku perdana menteri ke-9 daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau memegang tampuk pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam suasana serba mencabar. Ramai ragu kemampuan beliau menerajui negara menghadapi pelbagai cabaran ini kerana beliau dianggap ‘masih hijau’ sedangkan beban untuk dipikul adalah berat.

Daripada segi politik, Adi melihat cabaran utama beliau ialah kedudukan PN sendiri sebagai kerajaan pemerintah yang dianggap tidak stabil kerana majoriti di parlimen tipis. Justeru tugas utama ialah menstabilkan kerajaan agar dapat berfungsi dengan efektif untuk kesejahteraan negara dan rakyat.

Jika ini tidak dilakukan, kerajaan akan berdepan pelbagai kekangan dalam melaksanakan program pembangunan negara dan membantu rakyat. Kesepakatan pembangkang amat diperlukan dan tugas ini bukan mudah.

Ismail juga berdepan satu lagi cabaran besar, iaitu pandemik COVID-19 yang masih mengganas ketika itu. Angka jangkitan baharu harian masih berlegar tinggi sehingga mencecah 20,000. Ketika itu suasana ekonomi juga suram akibat COVID-19.

Kerana itu cabaran besar yang menanti ialah untuk menseimbangkan keselamatan rakyat dengan pertumbuhan ekonomi negara yang sudah lama suram akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tempias pandemik ini begitu dirasai menggigit ekonomi negara.

Ramai hilang kerja, hilang pendapatan akibat sumber tempat mencari rezeki terputus. COVID-19 menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup dan gulung tikar, sehingga keadaan kembali pulih.

Bagi Adi, situasi ini sangat mencabar bagi Ismail Sabri kerana semakin lama sektor ekonomi tidak beroperasi semakin ramai menghadapi risiko hilang kerja dan pendapatan. Kehidupan rakyat dikhuatiri semakin sukar sehingga boleh menimbulkan masalah sosial pula.

Pada masa sama, rakyat bukan sahaja semakin rimas kerana terkurung akibat PKP dan ingin kembali bebas, mereka juga risau dan susah hati kerana ramai di antara mereka telah menjadi penganggur. Kehidupan semakin sukar untuk menyediakan keperluan untuk keluarga.

Namun setelah 100 hari berlalu memikul tanggungjawab mengharungi cabaran, Adi melihat Ismail Sabri membuktikan kemampuan melepasi ‘ujian 100 hari’, menyerlahkan kemampuan untuk memimpin negara.

Beliau dilihat mempunyai pendekatan dan cara tersendiri untuk menghadapi ketidakstabilan politik, sosioekonomi dan isu kesihatan yang dihadapi negara.

Semua usaha ini terangkum melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang, memperkenal Konsep Keluarga Malaysia, pembentangan Bajet 2020 dan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12.

Melalui slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang beliau perkenalkan, Ismail Sabri mahu merapatkan lagi hubungan pelbagai kaum.

Dengan perpaduan lebih erat, diharap konsep berkenaan mampu mewujudkan semangat kekitaan lebih mendalam bagi mengikat perpaduan di kalangan rakyat.

Adi melihat konsep ini sebagai satu perancangan jangka panjang untuk memastikan tiada rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, tercicir daripada menikmati kejayaan dan kemakmuran negara.

Ternyata konsep ini diterima baik dan dianggap satu pembaharuan dalam konteks Malaysia. Hubungan kaum yang memang sudah terjalin lama diperhebat supaya lebih padu dan lebih jitu.

Bagi memastikan kejayaan ‘Keluarga Malaysia’, Ismail Sabri mengarahkan jemaah menteri mengumumkan ‘Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari’ kepada rakyat.

Ini untuk membolehkan rakyat menilai pencapaian menteri dan kementerian yang diterajui demi kesejahteraan ‘Keluarga Malaysia’.

Aspirasi ini juga untuk memastikan jemaah menteri berbuat yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan dikira sebagai indeks prestasi utama (KPI). Ia akan menjadi kayu ukur sejauh mana mereka berjaya memberi khidmat bakti kepada rakyat.

Untuk memastikan pentadbiran kerajaan lancar, Ismail Sabri menggunakan kebijaksanaan merapatkan hubungan kerjasama dengan parti pembangkang. Tujuannya untuk mewujudkan kestabilan pentadbiran kerajaan dan berpolitik dikurangkan.

Melalui usahanya, satu Memorandum Persefahaman (MoU) dijalin dengan pembangkang agar parti kerajaan dan blok pembangkang samasama bergerak seiring ke arah matlamat kesejahteraan negara dan rakyat dengan mengenepikan aspek kepartian. Bagi Adi ini satu kejayaan besar.

Teras utama ialah mengutamakan kebajikan rakyat, bukan sibuk berpolitik ketika negara berada dalam keadaan sukar. Pertelagahan politik akan hanya merugikan negara dan rakyat dan kerana itu wajar dikesampingkan.

Persefahaman ini memberi kesan positif. Misalnya Belanjawan 2022 diluluskan berkat persefahaman semua parti. Aspek ini sangat penting bagi membolehkan peruntukan mengurus dan pembangunan negara dapat dilaksanakan.

Dalam tempoh 100 hari, kerajaan PN pimpinan Ismail Sabri juga berjaya meredakan kebimbangan penularan COVID-19 yang mencecah 20,000 kes harian baharu ketika memegang jawatan berbanding dalam lingkungan turun naik antara empat hingga enam ribu sekarang.

Wabak yang menjejaskan kehidupan rakyat dan ekonomi negara kini mencatat penurunan angka kematian dan kes pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara. Inilah yang diingini dalam negara bersedia memasuki era pandemik.

Dalam tempoh 100 hari juga Ismail Sabri bertindak berani menamatkan PKP dan membenarkan rentas negeri kepada mereka yang telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin COVID-19.

Bagaimanapun operasi prosedur standard (SOP) masih dikekalkan, seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Penamatan PKP sangat bermakna kepada orang ramai yang sudah bosan terlalu lama terperap di rumah dengan pergerakan terbatas. Mereka kini boleh balik kampung menemui keluarga dan saudara mara, boleh melancong dan melakukan pelbagai aktiviti luaran.

Namun yang lebih penting pada hemat Adi, berakhir PKP bererti banyak sektor ekonomi yang ditutup kembali beroperasi. Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada yang diberhentikan akibat pandemik COVID-19. Sama ada bekerja semula di tempat lama atau di tempat baharu bukan isu. Yang penting, ada kerja demi kelangsungan hidup.

Kerancakan ekonomi dan bertambahnya mereka yang mendapat kerja akan membolehkan orang ramai berbelanja dan seterusnya menambah kecairan di pasaran. Kecairan sangat penting kerana ia menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri, dalam keadaan COVID-19 masih berlegar, memberi kesan positif ke arah membuka peluang pekerjaan dan menyemarakkan ekonomi. Ini dapat mengelakkan senario ekonomi negara terus bertambah suram dan semakin ramai akan hilang kerja.

Namun rakyat mestilah memberi kerjasama. Ingat COVID-19 belum berlalu dan SOP masih berkuat kuasa. Oleh itu bantulah kerajaan dengan mematuhi segala SOP ditetapkan.

Dengan kejayaan 100 hari yang dicapai oleh Ismail Sabri dan kerajaan pimpinannya, Adi percaya lebih banyak lagi aspek positif demi kemakmuran negara dan rakyat Malaysia akan dicapai pada hari-hari muka. Seratus hari pertama ini adalah asas permulaan. – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas