Artikel

Menjadi ‘despatch’ di KL

“ADA juga kisah mak datin mengupah despatch menjadi spy mengawasi gerak-geri suaminya di pejabat...” - Kredit foto: Fail Unit foto DBKL
- Diterbit 12 Disember 2021 2:30 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

TENGAH hari itu pada akhir tahun 1986, saya terpaksa berteduh laluan motosikal bawah bulatan Cheras. Hujan terlalu lebat dan ribut agak kuat. Waktu itu saya dalam perjalanan balik dari Hulu Kelang ke pejabat di Jalan Chan Sow Lin. Kelihatan sudah banyak penunggang motosikal yang tersadai. Semua menunggu hujan teduh.

Semuanya sebaya saya, lebih kurang 25 tahun. Menunggang kapcai tetapi hanya jenis sahaja yang berbeza. Ada yang Yahama, Suzuki dan Honda. Saya menunggang Honda C70 yang dibeli ketika masih di kampung. Ayah mengirim kapcai itu dengan kereta api.

Ketika itu saya sudah hampir setahun menunggang kapcai di tengah-tengah Kuala Lumpur. Walaupun mulanya terlalu gayat, tetapi akhirnya saya juga menjadi lipas kudung – menyelit antara kereta yang bergerak laju.

Semua yang berteduh bersama-sama saya tengah hari itu adalah budak-budak despatch. Gaya, slanga dan lagaknya mudah dikenal. Di Kuala Lumpur budak despatch ini digeruni kerana menunggang laju, malah ada yang melulu. Selepas berlanggar barulah menyesal.

Banyak juga kawan saya yang menjadi despatch. Menariknya tidak ada yang tahu bahawa saya bukannya despatch. Semuanya berlaku selepas saya menjadi penunggang kapcai lipas kudung di Kuala Lumpur.

Daripada mereka banyak juga cerita menarik yang saya dapat, caranya dengan tersengih sambil menadah telinga. Belajarlah sikit-sikit slanga mereka. Banyaknya cerita skandal di pejabat malah ada yang isteri membuat sesi ‘terjah’ di pejabat suami.

“Itu adegan yang sangat menarik,” kata salah seorang daripada mereka.

“Waktu itu toreh muka pun tak ada darah,” kata yang lain sambil ketawa berdekah-dekah.

Ada juga kisah mak datin mengupah despatch menjadi spy mengawasi gerak geri suaminya di pejabat. Kerja spy ini mendapat upah yang lumayan, tetapi tidak hanya despatch tertentu sahaja yang dipercayai oleh mak datin.

Ada juga yang membuat kerja ‘part time’ dengan syarikat lain. Kerja ‘part time’ ini dibayar mengikut tugas terutama untuk menghantar barangan kepada pihak lain. Itu sahajalah cara mereka menambah pendapatan. Bagaimanapun tidak banyak yang berani membuat dua kerja seperti itu.

“Bro stesen di mana,” tegurnya dengan berhemah sambil menyedut dan melepaskan asap rokok Lucky Strike yang berkepul-kepul. Nampak bergaya dengan jaket denim biru cair.

“Kami Sungai Besi. Depa pula mana? balas saya yang memahami ‘stesen’ itu bermaksud tempat bekerja. Secara tidak sengaja saya menjawab dalam loghat Perlis. “Kami di Damansara. Hari ni banyak pula nak kena pi hantaq. Sampai Kajang. Kalau lagu ni sayup la dan balik ofis.”

Kerana bunyinya macam orang dari utara, saya pun bertanya, “Asai dari mana?

“Langgaq, Kedah. Awat dengaq macam orang Kedah ka?”

“Bunyi pekat likat macam kuah laksa Kuala Kedah. Kami Perlis lebih kurang la. Kalau Penang kepala ikut pusing sama,” kata saya dan kami ketawa berderai. Rasa macam balik ke kampung pula bila sesekali dapat bercakap dengan orang utara.

“Dah berapa lama kerja?” tiba-tiba suaranya memecah hening antara kami yang sekali sekala tenggelam dalam deru kereta dan lori di atas bulatan Cheras. Sesekali air di atas tersimbah bercampur hujan jatuh di depan kami.

“Baru dua tahun. Tak berapa kenai sangat jalan di KL ni. Selalu sesat barat. Redah pi la, nak buat lagu mana.”

Ligat memikirkan kenapa dia menyangka saya seorang despatch. Akhirnya saya mengagak kerana bakul kapcai saya penuh dengan kertas A4. Kertas itu adalah beberapa skrip layar filem yang diambil dari Finas di Hulu Kelang.

Berbalut dengan plastik lut sinar dan memang nampak macam dokumen yang selalu dihantar oleh despatch.

Selepas menang kategori Pengkritik Filem di Festival Filem Malaysia Ke 6 tahun 1986, Ketua Pengarah Finas, Zain Hamzah meminta pegawainya mengambil saya sebagai panel skrip di Finas. Kerjanya membuat penilaian skrip daripada produser yang menerima bantuan Finas.

Saya menerima kerja sambilan itu bukan hanya kerana bayaran, tetapi yakin boleh melaksanakan dengan baik. Saya yakin ilmu yang pelajari daripada pengkritik dan pensyarah filem Dr Anuar Nor Arai boleh dimanfaatkan. Saya tidak masuk universiti, tetapi belajar dengan Dr Anuar di pejabatnya di Universiti Malaya hampir setiap minggu.

Perkenalan tengah hari itu membawa pada beberapa pertemuan lain mungkin kerana kami hampir sama – dari utara. Kalau berjumpa kami minum dan berbual-bual di warung teh tarik.

Selalunya saya akan sertai kawan-kawan despatchnya di Benteng Kecil di belakang gereja St Mary dekat Kelab Selangor.

Saya mendapat tahu dia sebenarnya anak tunggal yang ayahnya menghilang diri ketika dia belum masuk sekolah. Dia dibesarkan oleh ibunya di kampung hasil dari sepetak sawah yang kecil. Hingga hari itu, lebih kurang 20 tahun kemudian, ayahnya tidak pernah muncul.

Dia membawa ibunya ke Kuala Lumpur dan menyewa rumah setinggan Kampung Kerinchi.

Katanya, dari jendela rumah sewanya jelas kelihatan bangunan Angkasapuri. Saya tahu kawasan setinggan itu kerana pernah tinggal semasa merantau tahun 1979 dulu.

Selain hasil kerjanya sebagai despatch, ibunya membuat kuih dan nasi lemak untuk menambah pendapatan. Kuih dan nasi lemak itu diletakkan di beberapa gerai sekitar Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam. Setiap hari semasa keluar bekerja dia membawa kuih dan nasi lemak ke gerai-gerai itu.

Dalam sibuk bekerja dan menghantar kuih ke geraigerai, dia masih sempat menyambung pengajian secara luar kampus di Institut Teknologi Mara (ITM) kini UiTM Shah Alam.

Ketika itu pengajiannya berbaki tidak sampai setahun lagi untuk menggenggam Diploma Komunikasi Massa.

Katanya, dia akan terus menyambung pengajian secara luar kampus hingga peringkat lebih tinggi. Tidak mampu untuk menjadi pelajar sepenuh masa kerana dia perlu mencari rezeki menyara hidup dia dan ibunya. Belajar sambil bekerja cabarannya berganda. Tetapi dia tiada pilihan. Hanya cara itu sahaja yang dia ada.

Dia selalu bercerita tentang impiannya menjadi orang yang berjaya dan berjasa. Katanya, berjaya sahaja belum cukup kalau tidak berjasa.

Apabila kita menerima bermakna sudah berjanji menjadi pemberi apabila tiba waktunya, demikian katanya kepada saya.

Ungkapan ‘berjaya dan berjasa’ selalu bergema dalam jiwa saya. Dalam beberapa tulisan saya menghuraikan mengenai berjaya dan berjasa. Banyak yang berjaya dalam hidup tetapi kurang yang berjasa. Semua didedikasikan kepada dia.

Saya tidak ingat dengan tepat bilakah kami terputus hubungan. Tetapi yang pasti hingga akhirnya dia menyangka saya seorang despatch.

Tetapi bagi saya dia bukan despatch biasa. Dia antara mereka yang menginspirasikan saya melihat kejayaan hidup daripada laras yang berbeza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas