Artikel

Langgar syarat: Sila undur dari PPR!

GOLONGAN berpendapatan rendah sangat mengharapkan unit kediaman di PPR atau PA.
- Diterbit 3 Disember 2021 6:59 AM MYT

JIKA pendapatan sudah bertambah dan sudah melepasi syarat kelayakan untuk tinggal di rumah khusus untuk berpendapatan rendah seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), segeralah berundur mencari tempat tinggal lain.

Berilah peluang kepada mereka yang lebih memerlukan untuk menduduki rumah PPR atau PA. Mereka sangat mengharapkan unit kediaman ini setelah lama menunggu giliran mencari tempat berteduh menurut kemampuan sesuai dengan pendapatan.

Melepasi syarat kelayakan berdasar pendapatan adalah salah satu ciri utama yang ditetapkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penghuni mengosongkan unit PPR atau PA. Syarat ini sudah termaktub dan difahami.

Namun walaupun penghuni PPR atau PA menyedari hakikat ini, seringkali mereka cuba menyembunyikan status dengan pelbagai cara. Tujuannya agar terus dapat tinggal di perumahan berkenaan dengan sewa rendah.

Peduli apa dengan barisan panjang yang masih menunggu untuk mendapat penempatan di PPR atau PA asalkan mereka dapat terus menduduki. Maklumlah sewa rendah, pendapatan pula sudah bertambah. Tentunya sangat melegakan.

Sikap buruk inilah yang merentap peluang golongan berpendapatan rendah menduduki unit-unit rumah berkenaan disebabkan keengganan mereka yang melepasi syarat mengosongkan unit kediaman.

Malah ada pula di antara mereka menyewakan unit mereka kepada orang lain (sublet) dan mengutip sewa setiap bulan, lebih tinggi daripada sewa yang biasanya penghuni bayar kepada DBKL.

Kerana itu Adi gembira dan menyokong usaha serius DBKL untuk membanteras kegiatan penyewa PPR dan PA yang didapati melanggar syarat, seperti melepasi kadar kelayakan. DBKL juga akan bertindak merampas unit yang disewakan.

Tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan aktiviti maksiat dan jenayah serta melanggar peraturan dan undang-undang negara. Mereka akan diusir dari unit yang mereka diami.

Kelompok penghuni yang ‘tidak bertamadun’ juga berhadapan tindakan diusir. Mereka sering merosakkan kemudahan awam di PPR atau PA, atau bermaharajalela membuang sampah sarap dan objek dari unit kediaman sehingga mendatangkan bahaya kepada orang ramai dan mengotorkan persekitaran.

Tindakan ini wajar kerana sudah kerap berlaku kes vandalisme seperti merosakkan lif dan harta benda awam lain di PPR atau PA. Malah terdapat kes membuang sampah dan objek berat dari unit kediaman menimpa individu di bawah sehingga menyebabkan kematian. Kelompok ini hanya merosakkan nama baik penghuni lain.

Bagi Adi, sikap mereka sangat berbahaya dan membahayakan penghuni lain. Kelompok seperti ini lebih layak tinggal berasingan daripada masyarakat bertamadun.

Memetik Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar syarat menduduki PPR ini tanpa kompromi. Untuk itu pemantauan berterusan dan secara berkala dilakukan oleh KWP dan DBKL bagi mengesan mereka.

Menurut beliau, dalam data kementerian, terdapat 350 unit melanggar syarat menyewa dan kerana itu boleh dikosongkan untuk ditawar kepada pemohon dalam senarai menunggu. Dengan itu penyewa baharu boleh memasuki unit kediaman berkenaan.

Adi difahamkan, sehingga September 2021 sejumlah 1,654 permohonan bagi PPR dan PA diluluskan. Daripada jumlah itu, 686 telah ditawarkan unit rumah manakala 968 masih menunggu ada unit kosong.

Antara faktor utama tiada kekosongan, selain kedegilan penyewa keluar setelah melepasi syarat, ialah unit sedang dibaik pulih. Juga tiada projek baharu PPR dilaksanakan.

Kerana itu senarai menunggu semakin panjang lantaran permintaan jauh lebih tinggi mengatasi penawaran. Setiap tahun barisan menunggu bertambah panjang kerana keperluan untuk PPR atau PA sentiasa bertambah.

Setakat September 2021 juga, DBKL telah menimbang 10,138 permohonan bagi rumah PPR atau PA. Jumlah ini menunjukkan pertambahan nyata daripada tahun-tahun sebelumnya dengan trend semakin meningkat.

Misalnya pada 2019 ada 1,543 permohonan untuk rumah PPR. Angka ini bertambah kepada 6,922 pada tahun 2020.

Adi percaya senario ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya bahana COVID-19 yang menyebabkan ramai terkena tempias, hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan apabila tempat sumber rezeki gulung tikar atau ditutup hingga keadaan kembali normal.

Kerana terputus sumber rezeki, ramai yang hilang tempat tinggal kerana tidak mampu terus menyewa di premis kediaman sebelumnya. Alternatif terbaik ialah cuba mencari perlindungan di PPR atau PA walaupun mungkin sukar mendapat unit pada kadar segera.

Oleh itu, Adi berharap kepada penghuni PPR atau PA yang sudah lebih mampu, tinggalkan segera kediaman dengan rela hati tanpa menunggu tindakan DBKL. Simpatilah kepada mereka yang memerlukan. Dahulu giliran mereka, sekarang beri giliran kepada yang lain pula.

Juga Adi harap DBKL akan terus bertegas terhadap penghuni yang terlibat dengan kegiatan jenayah atau tidak bertamadun. Lebih wajar diberi peluang kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan mematuhi syarat ditetapkan.

Memandangkan jumlah permohan bertambah setiap tahun, Adi juga cadangkan agar KWP dan DBKL mencari jalan menambah pembinaan projek PPR atau PA di seluruh Wilayah Persekutuan, terutama di Kuala Lumpur di mana keperluan lebih mendesak.

Ini kerana penghuni Kuala Lumpur jauh lebih ramai dibandingkan dengan Putrajaya atau Labuan. Ditambah dengan faktor ibu negara adalah pusat kegiatan ekonomi, jumlah yang datang mencari rezeki di ibu negara juga bertambah daripada pelbagai pelusuk tempat. Kerana itu jumlah unit kediaman yang diperlukan turut bertambah.

Adi menyedari ini bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan cepat dan banyak bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Namun usaha berterusan perlu dilakukan agar sekurang-kurangnya ia dapat meminimumkan jumlah yang menunggu.

Setiap orang ingin tempat kediaman untuk melindungi diri dan keluarga daripada hujan dan panas. Namun tidak semua mampu memilikinya kerana kekangan hidup serta latar belakang ekonomi berlainan.

Mereka yang hidup senang mudah sahaja membeli unit kediaman walaupun pada harga tinggi dalam suasana nilai hartanah yang sentiasa melambung di Kuala Lumpur.

Tetapi untuk yang berpendapatan rendah dan sederhana seperti golongan B40 dan M40, harga kediaman hingga ratusan ribu ringgit memang sukar dicapai tangan. Kerana itulah mereka bergantung kepada PPR atau PA, atau Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang ditukar nama kepada Residensi Prihatin dan kini dijenama semula sebagai Residensi Keluarga Malaysia (RKM).

Keperluan golongan B40 dan M40 inilah yang perlu sentiasa diberi perhatian dan bantuan diberi di mana perlu. Mereka juga ingin kehidupan selesa seperti dinikmati oleh orang lain.

Adi – Syukur ada rumah – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas