Berita

10 projek Residensi Keluarga Malaysia akan dibangunkan

AZMI (tiga kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Communications, Tan Sri Abdullah Ali (tiga kiri) menunjukkan dokumen perjanjian pada Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Projek Pembangunan Residensi Keluarga Malaysia Cengkih, di Kompleks PPj, Putrajaya. - GAMBAR PPj
- Diterbit 7 Oktober 2021 11:28 AM MYT

10 projek perumahan mampu milik bakal dibangunkan di bawah Residensi Keluarga Malaysia di sekitar Putrajaya ini pada tahun 2026.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain sebanyak lima tempat telah dipilih iaitu di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 bagi projek tersebut.

Selaras dengan pengumuman Kementerian Wilayah Persekutuan sebanyak 12,253 unit kediaman ditawarkan menerusi 10 projek pembangunan tersebut.

“Kami berharap pelaksanaan program ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40.

“Di samping menyediakan kediaman yang lebih selesa dan berkualitu serta mampu dimiliki,” katanya kepada pemberita pada Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan  Projek Pembangunan Residensi Keluarga Malaysia Cengkih, di kompleks PPj hari ini.

Menurutnya projek itu akan dibangunkan di Presint 16 melibatkan sejumlah 724 unit kediaman dengan keluasan lantai adalah 750 kaki persegi.
“Harga yang ditawarkan adalah lebih rendah daripada harga pasaran dengan harga jualan tidak melebihi RM200,000 seunit dengan penetapan syarat 50 peratus diperuntukkan kepada kuota Bumiputera oleh kumpulan B40,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek ini telah pun melalui proses mendapatkan Kelulusan Kebenaran Merancang (KMPB) dan Kelulusan Mendirikan Bangunan (MB) yang akan bermula bulan hadapan dan pembinaan keseluruhannya dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas