Berita

Residensi Prihatin dijenamakan semula sebagai ‘Residensi Keluarga Malaysia’

RESIDENSI Prihatin diperkenalkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan sri TPr Annuar Musa dan dilancarkan pada 22 Februari 2021.
- Diterbit 7 Oktober 2021 9:05 AM MYT

RESIDENSI Prihatin telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Residensi Keluarga Malaysia, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Penjenamaan itu selaras dengan konsep Keluarga Besar Malaysia yang bersifat inklusif dan dekat dengan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Shahidan berkata demikian ketika penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)di Dewan Rakyat hari ini.

Residensi Prihatin sebelum ini telah diperkenalkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dan dilancarkan pada 22 Febuari lalu.

Ia menyasarkan untuk membina kira-kira 40,000 unit rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketika ini sebanyak 12,253 unit rumah berkenaan sedang dalam perancangan untuk dibina di Putrajaya, membabitkan 10 tapak projek di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Rumah yang berharga di bawah RM200,000 seunit itu berkeluasan 750 kaki persegi akan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu dan makan serta laman, selain berbentuk rumah berstrata.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas