Berita

10 individu ditahan, merusuh ketika perlawanan bola sepak.

10 individu ditahan susulan kejadian merusuh melibatkan penyokong dan pemain bola sepak semasa satu perlawanan bola sepak disini, semalam.
- Diterbit 14 Disember 2021 2:05 AM MYT

POLIS Labuan menahan seramai 10 individu susulan kejadian merusuh melibatkan penyokong dan pemain bola sepak semasa satu perlawanan bola sepak disini, semalam.

Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan,Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, kejadian rusuhan itu berlaku pada jam 1.30 petang semasa perlawanan di antara Pasukan Bambu 2 dengan Pasukan PAT United.

Katanya, hasil siasatan awal, rusuhan itu berpunca daripada beberapa orang penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati berkenaan kekasaran yang berlaku semasa perlawanan.

“Rentetan daripada itu, beberapa orang penyokong telah masuk ke dalam padang dan berlaku provokasi sehingga berlaku pergaduhan diantara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan.

“Akibat kejadian, beberapa individu telah mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Ibrahim berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya telah mengenalpasti individu yang terlibat dalam kejadian dan membuat beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

“Sehingga semalam, seramai 10 lelaki tempatan berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan.

“Kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas