Berita

YWP tambah barangan keperluan sampingan di PPS Wilayah Persekutuan

Kakitangan YWP menghulurkan bantuan bantal dan selimut kepada keluarga mangsa banjir di penempatan sementara Dewan Sultan Sulaiman.
- Diterbit 24 Disember 2021 6:00 AM MYT

MEMAHAMI keadaan sukar dialami oleh mangsa banjir, Yayasan Wilayah Persekutuan terus menyalurkan bantuan tanpa henti kepada orang ramai yang berada di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya menambah barang keperluan harian yang masih tidak mencukupi di tiga lokasi iaitu PPS Kelab Sultan Sulaiman, PPS SJK(T) Saraswathy, Lembah Pantai dan PPS Dewan Jalan Hamzah.

“Semasa melakukan tinjauan, kami mendapati barang keperluan utama di sana masih tidak mencukupi seperti pakaian, tuala, barang mandian dan makanan meskipun menerima sumbangan daripada orang ramai.

“Kebanyakan orang yang datang berjumpa kami meminta selimut, bantal, lampin bayi dan susu jadi YWP tampil membantu menambah apa yang masih tidak cukup di sana,” katanya.

Selain itu, Zaizalnizam memberitahu, pihaknya juga turut menghantar bantuan makanan bermasak pada sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam kepada seluruh mangsa terlibat.

Dalam pada itu, YWP juga menyantuni mangsa kebakaran Flat Seri Johor, Cheras dengan memberi bantuan awal semasa malam kejadian berlaku seperti air mineral, makan malam.

“Kita juga berikan selimut dan bantal kepada 11 keluarga yang ditempatkan di dewan sementara serta bantuan susulan masih dalam proses untuk menghantar,” jelasnya. . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas