Berita

LaRIS raih tokoh inovasi negeri Labuan 2021

DR Hyginus (kanan) meraikan Anugerah Khas Kerjasama
- Diterbit 24 Disember 2021 6:30 AM MYT

ULANG tahun kedua Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan atau LaRIS (Labuan Research, Innovation and Creativity Society) menjadi lebih bermakna apabila meraih pengiktirafan tertinggi dan dinobatkan sebagai Tokoh Inovasi Negeri kategori Organisasi sempena Hari Inovasi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2021, baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 29 November 2019, LaRIS diasaskan dan diterajui oleh Ikon Guru Kebangsaan, Dr Hyginus Lester Junior Lee dan dibantu oleh tujuh Ahli Jawatankuasa yang kini bertugas di SMK Mutiara.

Tujuan utama penubuhan LaRIS ialah untuk mempromosi, menjalankan, membentang, mengumpul dan menerbitkan kertas kajian serta produk inovasi dan kreativiti. LaRIS juga menganjurkan dan mengadakan wacana ilmu, ceramah, bengkel, pertandingan dan seminar berkaitan penyelidikan, inovasi dan kreativiti.

Antara program berterusan yang dianjurkan LaRIS ialah Bicara Pendidik dan Bicara Inovasi yang telah dihadiri 153 peserta seluruh negara.

Program Bicara ini memberi peluang kepada ikon dan pemenang negeri, kebangsaan dan antarabangsa berkongsi petua, pengalaman dan kepakaran berkaitan kajian tindakan dan inovasi.

Antara pembicara jemputan ialah Tokoh Inovasi Labuan, Suriani Alland Rice Oxley, Ikon Guru Labuan, Dalilah Desa dan Samih Kukung serta pemenang dua anugerah (double award winner) International Society for Technology in Education (ISTE) USA, Goh Kok Ming (SJKC Chi Sheng 2, Perak).

LaRIS juga menjayakan program peringkat kebangsaan termasuk Webinar Pembudayaan Asas Kajian Tindakan dan LaRIS Creativity and Innovation Showcase.

LaRIS turut berjaya menganjurkan program antarabangsa iaitu (The 5th International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2020 (5th CAIELTS 2020) dan (The 6th International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2021 (6th CAIELTS 2021).

Antara pembentang utama 6th CAIELTS 2021 ialah Dekan Fakulti Sastra Universitas Pamulang, Dr. Mohamad Ramdon Dasuki, Pensyarah Kanan University of Wollongong, Dr. Mark Fraser, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Naim, To’Puan Nurul Izatee Md Yusoff dan pembentang dari Jepun dan Taiwan.

LaRIS telah menganjurkan Program Silaturahim LaRIS bersama Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Sastra, Universiti Pamulang, Indonesia pada 16 Oktober 2021.

Kunjungan tersebut membincangkan peluang kerjasama di antara Universiti Pamulang dengan LaRIS untuk jangka masa panjang.

Dr Hyginus berkata, sehingga kini, LaRIS telah menerima 560 penyertaan daripada keseluruhan program yang telah dianjurkan.

Katanya, melalui program yang dikelolakan oleh LaRIS, guru-guru Labuan mempunyai alternatif dan masih berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti nasional dan global secara maya.

“LaRIS juga telah memenangi Anugerah Khas Kerjasama Jalinan/Jaringan Inovatif dan Kreatif pada Hari Inovasi Pendidikan 2021.

“Pada tahun ini, LaRIS telah menganjurkan Bengkel Asas Kajian dan Inovasi, Bengkel Pemantapan Pembentangan dan Penulisan Kajian Tindakan, Bengkel Fasilitator Kajian Tindakan, Bengkel Fasilitator Inovasi, dan Bengkel Asas Penulisan Kajian Tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

LaRIS merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad, Timbalan Pengarah Perancangan, Mohd Nizam Yasim, pegawai pendidikan dan peserta yang menyokong visi dan misi LaRIS bagi membangunkan potensi pendidik di Labuan.

Majlis penyampaian anugerah Hari Inovasi Pendidikan 2021 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Labuan, Sungai Lada pada 24 November lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas