Berita

YWP dukung Aspirasi Keluarga Malaysia

SUKARELAWAN YWP bersama penduduk setempat berganding bahu ketika program kenduri rakyat di Johor, baru-baru ini. SUKARELAWAN YWP bersama penduduk setempat berganding bahu ketika
- Diterbit 21 Mac 2022 4:56 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) mendukung semangat Aspirasi Keluarga Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi keterlibatan dalam program seperti Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, YWP rela merentasi sempadan dalam menghulurkan bantuan demi semangat Aspirasi Keluarga Malaysia tersebut.

“YWP akan turut serta dengan semua program yang telah disusun dan penglibatan kita juga bersama pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawahnya. Sebagai contoh, baru-baru ini kami turut serta bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Johor.

“Di pihak YWP, keterlibatan adalah lebih kepada bantuan sukarelawan dan juga kerja-kerja gotong-royong serta tugas lain yang boleh dibantu oleh sukarelawan Wilayah Persekutuan (WP).

“Setiap kali adanya program, kami akan menghantar tenaga kerja seramai 10 orang atau lebih untuk membantu,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya lagi, melalui program seperti ini juga hubungan di antara agensi di bawah KWP dapat dieratkan lagi kerana mereka akan bergerak secara satu kumpulan.

“Sungguhpun KWP ini hanya fokus kepada tiga negeri WP sahaja namun semangat Keluarga Malaysia membuatkan kita rentas sempadan dalam menyalurkan tenaga kerja terutamanya dari segi sukarelawan,” ujarnya sambil menambah Program JAKM ini akan diteruskan di Perlis pada 25 sehingga 27 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkenaan kebakaran yang memusnahkan kenderaan persendirian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri baru-baru ini.

“Untuk makluman setakat ini tiada bantuan disalurkan kepada mereka terlibat oleh kerana kebakaran yang berlaku melibatkan kenderaan persendirian di mana mangsa boleh menuntut insurans di atas kejadian itu.

“Namun saya mahu mengingatkan warga WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang ditimpa bencana atau musibah untuk tidak mudah panik dan kekal tenang kerana terdapat banyak saluran bantuan disediakan serta pelbagai pihak bersedia dalam menyalurkan sebarang bantuan,” tegasnya bahawa mereka tidaklah keseorangan dan YWP akan sentiasa bersama-sama dalam membantu warganya.

Terdahulu, dalam kejadian kebakaran di PPR Intan Baiduri pada 4 Mac lalu, sebanyak 48 buah motosikal serta empat buah kereta musnah dikatakan berpunca hanya daripada salah faham antara suspek utama dengan salah seorang mangsa motosikal yang terbakar. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas