Berita

Harga bufet ramadan jangan mahal saran Jalaluddin

PENETAPAN harga bufet ramadan di hotel-hotel sekitar Wilayah Persekutuan disarankan berpatutan mengikut taraf hotel. PENETAPAN harga bufet ramadan di hotel-hotel sekitar Wilayah
- Diterbit 21 Mac 2022 4:41 AM MYT

INDUSTRI Perhotelan disarankan mengkaji semula harga-harga promosi bufet ramadan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan penerimaan masyarakat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ia wajar dilaksanakan oleh pengusaha hotel untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Industri perhotelan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) perlu memainkan peranan penting sepanjang bulan ramadan ini untuk menjadikan hotel sebagai pusat tumpuan pelancongan serta turut sama meraikan suasana bulan mulia itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi bersama pengusaha hotel di Kementerian Wilayah Persekutuan pada Selasa bagi membincangkan isu berkaitan industri perhotelan dan mekanisme untuk merancakkan semula sektor ini.

Menurutnya, dalam perbincangan tersebut, pihak pengusaha hotel telah bersetuju untuk mengkaji semula harga bufet ramadan mengikut kadar yang ditetapkan supaya ia lebih sesuai dan boleh diterima masyarakat.

“Selain itu, pihak hotel juga boleh mengemukakan tanda promosi atau diskaun tempahan awal bufet ramadan bagi menarik lebih ramai pelanggan untuk menikmati juadah berbuka puasa.

“Mengenai isu penetapan harga pula, KWP tidak boleh menetapkan harga-harga tertentu kepada hotel sebaliknya menyarankan mereka untuk tidak meletakkan jumlah melangkaui jangkaan,” jelasnya.

Jalaluddin turut menyarankan kepada industri perhotelan termasuk semua pengusaha hotel untuk tidak meletakkan harga  terlalu mahal sehingga pernah mencecah RM260 seperti sebelum pandemik COVID-19 berlaku.

“Ia boleh dikawal semula dan saya cadangkan hotel yang bertaraf empat ke enam bintang untuk meletakkan harga sekitar bawah RM200 manakala tiga bintang ke bawah kurang daripada RM100,” jelasnya.

Terdahulu, antara perkara berbangkit yang dibincangkan ialah isu kekurangan kakitangan semenjak pelaksanaan PKP, kos bahan mentah yang tinggi, prosedur operasi standard (SOP) yang belum jela, cas tarif elektrik tinggi serta permohonan dan pembaharuan sijil halal. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas