Berita

YWP beri sumbangan RM25 ribu, bantu ringankan beban mangsa terjejas

YWP beri sumbangan RM25 ribu, bantu ringankan beban mangsa terjejas
- Diterbit 19 Mac 2021 5:33 AM MYT

SEJUMLAH hampir RM25,000 sumbangan tunai  disalurkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada semua penjaja terjejas akibat kebakaran yang berlaku di Pasar Keramat malam, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, sumbangan tunai segera RM500 itu diagihkan kepada kesemua 49 penjaja dengan setiap mangsa berdepan kerugian hingga ribuan ringgit akibat gerai jualan mereka musnah.

Beliau berkata, sumbangan diperuntukkan hasil Tabung Bantuan Bencana YWP itu diharap dapat meringankan beban ditanggung oleh para penjaja yang hilang punca pendapatan harian mereka.

“Sejumlah hampir RM25,000 disumbangkan YWP hari ini hasil tinjauan lokasi kebakaran yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, pada malam kejadian.

“Jadi, atas dasar prihatin kami tampil segera bagi membantu semua mangsa yang terlibat. Walau pun sumbangan tidak seberapa berbanding nilai kerugian dialami, namun kami berharap ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Bantuan tunai ini boleh digunakan mereka untuk belanja harian mereka sekeluarga buat seketika” katanya selepas sesi sumbangan YWP di Pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan, Datuk Keramat.

Turut hadir, Pengerusi PPPKM, Mohamed Tarmizi Mohamed Akil.

Menurut Zaizalnizam, sejumlah RM1 juta telah diperuntuk YWP untuk Tabung Bantuan Bencana untuk sepanjang tahun ini dan akan digunakan untuk membantu golongan memerlukan akibat bencana yang dialami.

Sementara itu, Mohamed Tarmizi berkata, secara kasar nilai kerugian dialami kesemua 49 mangsa dianggarkan sebanyak RM894,500 akibat gerai jualan mereka musnah sama sekali dijilat api.

“Bagaimanapun jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan pihak berwajib. Saya menyeru para peniaga supaya bersabar dan kita bersama pihak berkuasa termasuk DBKL dan KWP dalam fasa menentukan mekanisma bersesuaian untuk bantu ke semua mereka.

“Pihak DBKL telah berjanji, semua peniaga akan dapat menjalankan perniagaan masing-masing paling lewat sebelum Ramadhan ini. Sama ada tapak lama dibaik pulih atau diganti tapak baharu masih dalam peringkat penentuan,” ujarnya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas