Berita

YWM terima peruntukan RM100,000 dari CIMB Islamic, semarakan aktiviti wakaf

- Diterbit 24 Mac 2023 5:15 AM MYT

CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperuntukkan RM100,000 kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi melaksanakan Program Pembudayaan dan Sosialisasi Wakaf sepanjang Bulan Wakaf Kebangsan Tahun 2023, bermula semalam.

YWM dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemarakkan aktiviti wakaf terutamanya melibatkan mana-mana individu, persatuan, syarikat swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat serta menjadikan wakaf sebagai amalan seharian. Sekiranya lebih banyak aset wakaf dapat diwujudkan, maka lebih ramai masyarakat akan dapat menerima manfaatnya,” menurut kenyataan itu.

Antara program yang dilaksanakan adalah program kesedaran berwakaf melalui media, penganjuran taklimat wakaf, webinar, kaunter wakaf, program kembara sahur, sumbangan Wakaf Prihatin, sumbangan ‘Back To School’, program penghargaan pewakaf dan penerima manfaat wakaf.

CIMB Islamic merupakan rakan strategik YWM sejak 2016 dan kedua-dua pihak telah bekerjasama dalam pelbagai program, seperti Kempen Dana Peralatan Untuk Kelengkapan dan Pemulihan Hospital (P.U.L.I.H) serta Program iTEKAD 2.0 CIMB Islamic Rider Entrepreneur.

Kerjasama strategik itu turut melaksanakan pembelian dua ekor kuda bagi tujuan pendidikan kepada anak-anak autisme dan cerebral palsy di bawah Sijil Wakaf Tunai Pendidikan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas