Berita

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri penjawat awam dibayar pada 17 April ini

BANTUAN Khas Kewangan Aidilfitri 2023.
- Diterbit 24 Mac 2023 5:30 AM MYT

BANTUAN Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 sebanyak RM700 kepada pegawai perkhidmatan Awam yang layak akan dibayar pada
17 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed memaklumkan BKKA tahun ini diberikan kepada yang layak iaitu
Penjawat Awam Gred 56 dan ke bawah termasuk pegawai lantikan MySTEP yang masih berkhidmat dan telah dilantik sebelum tarikh
berkenaan.

“BKKA turut dibayar kepada pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS) serta pegawai yang bercuti bergaji
penuh, separuh gaji dan cuti tanpa gaji termasuklah pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.

“Guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B ke atas serta Gred Khas A ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya termasuk pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran, hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga layak menerima BKKA 2023,” jelas beliau dalam surat edaran.

Tambah beliau, BKKA 2023 ini turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan dengan bayaran sebanyak RM350.

“Ia merangkumi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Pesara kerajaan yang menerima pencen termasuk bersara Atas Sebab Kesihatan (ASK) pada atau sebelum 17 April akan dibayar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara, COS dan masih berkhidmat pada tarikh itu layak dibayar RM700 namun bayaran RM350 akan dibuat oleh JPA/JHEV dan selebihnya dibayar oleh tempat pegawai tersebut berkhidmat,” jelas beliau. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas