Berita

Yayasan Ragad raikan golongan istimewa berbuka puasa

- Diterbit 27 April 2021 3:13 AM MYT

SERAMAI 60 insan istimewa dari beberapa buah institusi kebajikan diraikan oleh Yayasan Ragad sempena Program Iftar @WeCare yang diadakan di restoran terkemuka di ibu negara, Isnin.

Majlis berlangsung santai dengan amalan norma baharu menyaksikan mereka yang dirai disantuni tetamu kenamaan dengan ‘sampul raya’ sambil berselera menikmati hidangan bufet bermenukan masakan tradisi Lubnan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ragad, Lila Ruzaini Mohd Hussain berkata, kesemua 60 anak istimewa di bawa khas daripada empat institusi kebajikan di sekitar Kuala Lumpur iaitu Persatuan Down Syndrom, Differently Able Society, Rumah Titian Kasih, Titiwangsa dan Thafiz International Quranic Centre.

Katanya, inisiatif diambil sebagai usaha zahirkan rasa prihatin Yayasan Ragad terhadap nasib anak istimewa yang kurang bernasib baik.

“Ramadan Kareem bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja, ia membawa pengertian lebih luas termasuklah peluang umat Islam rasai kesusahan, perlu saling membantu di samping ruang bersedekah dan berkumpul pada waktu berbuka bersama keluarga ataupun rakan beramai-ramai.

“Melalui konsep ini, puasa perlulah diterjemahkan sebagai rasai kesusahan orang lain, membantu mereka memerlukan seterusnya memupuk rasa kasih sayang sesama insan. Jadi konsep ini cuba diterap Yayasan Ragad melalui pelbagai program dan aktiviti kebajikan dijayakan,” katanya selepas Program Iftar @WeCare, di Kuala Lumpur.

Majlis meraikan insan istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Ragad, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib yang turut berkenan berbuka puasa bersama para tetamu yang hadir.

Turut hadir, Yang Mulia Tengku Puteri Meriam; Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart, Datuk Seri. KK Chai dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun yang turut memberi sumbangan duit raya untuk semua 60 orang insan istimewa diraikan. -DIANA AMIR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas