Berita

Wilayah Persekutuan sasar juarai keseluruhan Sukma 2022

- Diterbit 30 Ogos 2022 12:07 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran juara keseluruhan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang bakal berlangsung dari 16 hingga 24 September di sekitar Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sasaran itu realistik kerana kontinjen Wilayah Persekutuan akan menyertai semua 31 sukan dipertandingkan.

“Kontinjen Wilayah Persektuan terdiri daripada 766 atlet serta pegawai dan persiapan kini pada tahap 90 peratus dan setiap sukan sedang menjalani latihan di kem fasa terakhir. Kita meletakkan matlamat untuk menjadi johan keseluruhan bagi SUKMA kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 di sini hari ini.

Jelasnya, keputusan untuk menyertai kesemua acara yang dipertandingkan itu bertujuan untuk mengetengahkan barisan atlet pelapis sebagai persiapan untuk masa hadapan.

“Bagi kita ialah memilih pelapis itu penting. Saya sebagai presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), saya nak tengok pelapis.

“Sekarang ini kita ada 42 acara dan kita hanya dapat masuk tiga sahaja kerana kita tidak dapat mengenengahkan pelapis-pelapis ini,” katanya.

Tambahnya, hanya melalui temasya SUKMA, setiap kontinjen dapat melahirkan bakat baharu untuk dilatih sehingga mereka mampu mewakili negara.

“Selepas ini kita kena buat program lain untuk mendapatkan atlet untuk dilatih bagi tempoh tertentu sehingga mereka masuk ke fasa-fasa yang telah ditetapkan iaitu dari SUKMA, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya Sukan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, Shahidan berkata Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memperuntukkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM318,000 kepada 80 persatuan sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai bantuan pentadbiran badan sukan tersebut.

Sebanyak 48 persatuan sukan di Kuala Lumpur dan 32 persatuan sukan di Putrajaya masing-masing menerima bantuan berjumlah antara RM3,000 dan RM8,000.

Sumbangan tersebut bertujuan membantu persatuan sukan dan memberi galakan kepada mereka untuk melahirkan lebih ramai jaguh sukan di peringkat dunia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas