Berita

Lebih 10,000 Keluarga Malaysia meriahkan Ambang Merdeka

SUASANA ketika Sambutan Ambang Merdeka Putrajaya yang diadakan di Anjung Floria, Putrajaya malam ini.
- Diterbit 30 Ogos 2022 6:39 PM MYT

KIRA-KIRA lebih 10,000 Keluarga Malaysia memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka yang diadakan di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketibaan Ismail Sabri di Anjung Floria pada pukul 11.30 malam diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias disambut meriah dengan sorakan warga Keluarga Malaysia serta kibaran Jalur Gemilang di Floral Skywalk, pintu masuk Anjung Floria.

Selain Perdana Menteri, beberapa barisan Jemaah Menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Program yang bermula seawal 9 malam itu turut menyajikan persembahan barisan artis popular kepada pengunjung antaranya Ella, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Ameng Spring dan banyak lagi diiringi oleh Kombo PrecintNotes Perbadanan Putrajaya.

Di samping itu, tarian kebudayaan daripada Genius Seni Tari dan Kumpulan Tarian Rai’e turut dipersembahkan kepada pengunjung Sambutan Ambang Merdeka.

Tepat detik 12 tengah malam laungan merdeka sebanyak tujuh kali berkumandang diikuti dengan persembahan bunga api dan nyanyian lagu Negaraku.

Sambutan Ambang Merdeka Putrajaya merupakan anjuran Perbadanan Putrajaya dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2022 dan penganjuran Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas