Berita

Program Pembangunan Usahawan Muda Kota – Kios jualan ubah hidup Aniza

ANIZA bersama suami dihadapan kios mereka di Jalan Alor, Bukit Bintang
- Diterbit 8 Disember 2023 1:20 AM MYT

INISIATIF Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Muda Kota (UMK) dengan menyediakan kios jualan sejak tahun 2020 lalu ternyata memberi nafas baharu buat peniaga kecil di Wilayah Persekutuan.

Salah seorang peniaga di Jalan Alor, Bukit Bintang, Aniza Daud, 28, berkata iniasitif tersebut membantu dia dan suami mendapat tapak niaga yang lebih selesa serta tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Syukur alhamdulillah kerana saya terpilih untuk menerima kios jualan ini. Sebelum ini, saya hanya berniaga di rumah sahaja. Apabila dipilih saya dapat ubah corak perniagaan melalui urus niaga di bahu jalan pula.

“Kios ini dilengkapi kemudahan seperti kipas, tong air serta ruang kios bersaiz 7×7. Jadi, saya rasa ia sangat berbaloi. Selain itu, YWP juga menetapkan beberapa syarat antaranya perlu menjaga kebersihan di kawasan sekitar, tidak mengganggu lalu lintas dan tidak menyewakan kios kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Tidak mengharapkan YWP membantu 100 peratus perniagaannya, dia dan suami mengambil langkah proaktif dengan mempromosikan serta menghebahkan produk jualannya kepada orang ramai.

“Sejujurnya faktor lokasi dan persekitaran memainkan peranan penting buat peniaga. Jadi, langkah yang saya ambil adalah berniaga pada setiap hari Selasa hingga Ahad pada pukul 3 petang hingga 12 tengah malam kerana waktu tersebut ramai pengunjung,” ujarnya yang menjual laksa dan kopi di kios tersebut.

Terdahulu, Program UMK merupakan usaha yang dirangka oleh YWP bersama DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Putrajaya (PPj) serta pihak berkaitan.

Ia menyediakan ruang perniagaan secara kios dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih untuk usahawan muda di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut berkenaan program UMK, boleh melayari laman web rasmi www.yayasanwp.org atau hubungi pejabat YWP di talian 03-2698 3073. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas