Artikel

Wartawan pada era digital

TELEFON pintar adalah alat penting untuk setiap wartawan bagi melaksanakan tugasan walau di mana berada
- Diterbit 1 Disember 2023 2:05 AM MYT

Adakah kerjaya wartawan diperlukan pada zaman ini? Demikian antara soalan yang pernah diajukan kepada saya selepas dunia kewartawanan melangkah era digital dan bercambahnya media sosial. Seolah-olah pemain di media sosial telah mengambil peranan wartawan di organisasi media.

Saya selalu meyakinkan bahawa wartawan tidak pernah hilang peranan atau ‘mati’ dalam masyarakat yang bertamadun. Maknanya kerjaya kewartawanan sentiasa diperlukan bagi dua tujuan; pertama memberi maklumat dan kedua, membentuk pemikiran masyarakat.

Perlu ditekankan juga bahawa wartawan tidak sahaja memberikan maklumat, sebaliknya menyaring sesuatu yang bermanfaat. Maklumat yang tepat tetapi tidak berfaedah tidak perlu dipanjangkan kepada masyarakat.

Bukankah semua maklumat itu bernilai? Jawabnya tidak. Tidak semua maklumat bernilai dan bermanfaat. Sebagai individu, kita mesti memilih maklumat yang bermanfaat. Sebagai wartawan pula, mesti menyaring supaya maklumat yang bertaraf sampah sarap tidak sampai kepada masyarakat.

Kewartawanan dan kerjaya wartawan tidak pernah memusuhi teknologi. Semua teknologi yang memudahkan kerja kewartawanan sentiasa diterima dan diamalkan. Ini termasuklah teknologi digital yang mendominasi hampir semua bidang kerjaya ketika ini.

Ada juga yang menganggap kewujudan wartawan hanya di surat khabar. Pada era industri persuratkhabaran yang menjunam ini, wartawan dianggap sudah hilang peranannya. Hakikatnya yang semakin hilang itu adalah surat khabar, bukan kewartawanan.

Suatu waktu dulu kewartawanan dilihat sangat sinonim dengan persuratkhabaran. Ketika itu wadah kewartawanan adalah surat khabar. Bagaimanapun kini industri persuratkhabaran berdepan dengan cabaran sengit dan edaran jatuh dengan drastik.

Berikutan malapnya industri persuratkhabaran dan jualan surat khabar, sesetengah pihak menganggap kerjaya wartawan juga ikut terjejas dan menuju kepupusan.

Di Kuala lumpur misalnya sudah tidak banyak gerai di tepi jalan yang menjual surat khabar. Kalau ada sekalipun surat khabar yang dijual tidak menimbun seperti sebelum ini – hanya jumlah naskhah yang terlalu sedikit.

Bagaimanapun industri persuratkhabaran dan kerjaya wartawan adalah dua perkara berbeza. Sekalipun ada hubung kait yang rapat antara kedua-duanya, industri yang menurun bukanlah isyarat akan pupusnya kerjaya wartawan. Buktinya kewartawanan kini sudah beralih ke wadah digital. Wartawan dan kewartawanan tetap seperti dulu mendirikan etika dan disiplin.

NEOJOURNALISM

Surat khabar hanya salah satu wadah kewartawanan. Bagaimanapun selepas kehidupan kita menyeberang era digital, wadah kewartawanan pun turut berubah. Telefon pintar misalnya bukan lagi sebuah telefon, ia adalah alat bekerja yang menyediakan banyak kemudahan.

Apabila bermulanya Internet dan sekarang dengan teknologi digital, kerja wartawan tidak lagi menggunakan mesin taip. Dengan telefon pintar sudah boleh menulis berita atau rencana serta berada jauh dari pejabat. Wartawan boleh bekerja di mana-mana sahaja.

Perubahannya itu sangat besar dan menuntut wartawan menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang baharu. Hal itu disebabkan wadahnya bukan sahaja surat khabar bercetak, tetapi juga surat khabar dalam talian. Berita cepat menjadi ‘basi’ pada era neojournalism.

Neojournalism merujuk pada kewartawanan era digital yang menuntut kemampuan pelbagai cabang. Bukan sahaja menulis malah mengambil gambar, video, menyunting dan membuat laporan di tempat kejadian, suatu yang tidak ada dalam kewartawanan tradisional.

Era digital memberikan kemudahan kepada wartawan membuat rujukan, hanya menggunakan telefon pintar sebuah perpustakaan atau arkib berita ada di telapak tangan. Tidak perlu lagi berkurung dalam perpustakaan dan menyelak helai demi helai keratan surat khabar yang penuh debu.

Ada yang berkata, wartawan tidak mampu menyaingi pemain-pemain media sosial yang lebih pantas menyebarkan tentang sesuatu perkara. Kemudian menjadi tular dalam masa yang singkat. Lalu, apakah perlunya wartawan?
Bagaimanapun sesetengah pihak terlupa bahawa pengaruh luar biasa media sosial dan kewartawanan adalah dua perkara berbeza. Disebabkan perbezaan itu, media sosial tidak pernah mampu mengambil alih tuntutan perlunya kewartawanan kepada masyarakat.

Malah media sosial bukanlah media yang dirujuk dalam konteks kewartawanan. Pemain media sosial pula bukan wartawan sekalipun ada pihak menggunakan istilah ‘citizen journalist.’ Tidak wujud citizen journalist atau wartawan rakyat.

Wartawan mesti mendokong etika-etika dan disiplin tertentu yang tidak ada kepada pemain media sosial. Misalnya tentang ketepatan (akurasi) sesuatu maklumat menjadi keutamaan wartawan, tetapi tidak kepada banyak pemain media sosial.

Hal ini kerana kewartawanan itu sendiri tidak berdiri tanpa ciri-ciri khusus – wibawa, bertanggungjawab dan menjadi mata serta telinga kepada rakyat. Disebabkan ciri-ciri itulah media (wartawan dan kewartawanan) diangkat sebagai tunggak keempat (fourth estate) selepas judisiari, legislatif dan eksekutif di banyak negara maju.

LANDSKAP KERJA BAHARU

Hanya di negara kita media yang beroperasi di bawah payung organisasi berwibawa tidak dianggap tunggak keempat. Malah segelintir organisasi media secara sedar dan sengaja lebih selesa bawah naungan politik berbanding menjadi tunggak keempat yang berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ini sudah wujud banyak portal berita yang dikendalikan oleh pasukan editorial (editor dan wartawan) yang berwibawa. Mereka bekerja dalam landskap dan budaya kerja yang baharu, akan tetapi tidak berkompromi tentang sesuatu yang melanggar garis etika dan disiplin.

Sekalipun begitu media sosial mempunyai sisi penembusan tersendiri untuk sampai dan membentuk sikap dalam kalangan khalayak yang mencari sisi yang sensasi. Sebenarnya inilah ciri-ciri media sosial – membentuk gelombang pada sesuatu isu yang berlegar dalam masyarakat.

Menjadikan masyarakat yang celik media adalah tekad yang sangat penting dalam berdepan dengan lambakan maklumat. Maka yang mendokong tekad itu tidak lain adalah golongan wartawan yang secara konsisten mendirikan kewartawanan yang beretika dan berpihak pada kebenaran.

Isu berita palsu tidak mendapat tempat dalam masyarakat bertamadun dan celik media kerana ada kebijaksanaan dalam membezakan antara sensasi dan maklumat yang tepat serta bermanfaat. Di situlah peri pentingnya wartawan dalam membina masyarakat yang berkualiti dan bertamadun. – WILAYAHKU

– KU SEMAN KU HUSSAIN, Wartawan Bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas