Artikel

Mengatasi masalh parkir di PPR, PA

JUMLAH kenderaan yang berlebihan di kawasan perumahan PPR/PA antara faktor berlakunya masalah parkir
- Diterbit 1 Disember 2023 2:00 AM MYT

BERKUNJUNGLAH ke kawasan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di ibu kota. Pasti dapat dilihat banyak kenderaan di kawasan perumahan tersebut yang menandakan ramai penghuni PPR atau PA memiliki kenderaan. Malah ada yang memiliki lebih daripada satu.

Bagi Adi ini menunjukkan tanggapan bahawa penghuni di kediaman tersebut sebagai golongan kurang mampu adalah tidak tepat. Jika diteliti, kereta yang diparkir terdiri daripada pelbagai jenama dalam dan luar negara. Banyak di antaranya jenama popular yang mahal harganya. Bukankah ini melambangkan kemampuan warga PPR dan PA?

Namun satu pemandangan yang biasa dilihat ialah kenderaan di PPR dan PA diparkir dalam keadaan tidak tersusun, bersimpang-siur atau diparkir secara berlapis. Ini disebabkan jumlahnya banyak berbanding ruang parkir disediakan. Terpaksalah kereta diletak berhimpit atau mencelah di mana ada ruang.

Kenderaan yang diparkir secara tidak tersusun atau berlapis tentunya menyusahkan penghuni untuk keluar masuk. Namun itu sudah menjadi kebiasaan serta menjadi cara hidup penghuni PPR dan PA. Adi percaya masing-masing sudah faham dan hadam dengan situasi ini.

Mereka juga sudah faham apa yang perlu dilakukan dalam situasi ini. Misalnya jika kenderaan berlapis menghalang laluan, kenderaan yang menghalang perlu melepaskan brek tangan. Gear diletakkan dalam mod free atau neutral. Jadi jika ada yang hendak keluar mudahlah menolak kenderaan yang menghalang sehingga laluan cukup luas untuk keluar.

Sememangnya ini satu tugas merimaskan, tambahan jika banyak kenderaan perlu ditolak. Tentu letih kalau menolak kereta seorang diri. Banyak tenaga habis, badan juga berpeluh. Namun itulah senario kehidupan seharian yang perlu dihadapi.

Namun Adi bangga kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berdiam diri terhadap isu ini. Untuk membantu mengatasi kemelut parkir, DBKL membina parkir bertingkat di PPR dan PA di ibu kota. Menurut DBKL ia membangunkan kemudahan 14 tempat letak kereta bertingkat untuk mengatasi masalah kekurangan parkir.

Antara kawasan yang mempunyai kemudahan itu ialah PPR Pekan, Kepong; PPR Jelatek, Titiwangsa; PPR Seri Pantai, Lembah Pantai dan PA Seri Sabah, Bandar Tun Razak. Di tempat lain juga bakal menyusul, ada yang dalam pembinaan.

Parkir bertingkat lebih praktikal untuk dilaksanakan kerana pembinaannya tidak perlu mengambil tapak yang luas. Seperti juga pembinaan rumah pangsa atau kondominium, tidak mengambil ruang besar berbanding rumah di atas tanah atau ‘landed property’.

Menurut DBKL, sehingga tahun ini terdapat 67 kawasan PA dan PPR di 11 kawasan parlimen Kuala Lumpur. Sebanyak 61,534 unit parkir telah ditawarkan kepada penghuni.

Jumlah ini belum mencukupi berbanding nisbah penduduk. Namun bagi Adi ia sekurang-kurangnya membantu mengurangkan masalah. Faktor utama diambil kira dalam pembinaan parkir bertingkat ialah kepadatan penduduk serta keluasan tapak sedia ada.

Memandangkan ramai penghuni memiliki kenderaan, kapasiti parkir bertingkat tidak dapat memenuhi semua keperluan. Secara mudah ia tidak dapat menyediakan satu petak parkir bagi setiap penghuni, apatah lagi jika memiliki lebih daripada satu kenderaan.

Keadaannya tidak sama dengan kondominium yang menyediakan satu atau lebih petak parkir bagi setiap penghuni. Itu pun masih belum dapat menyelesaikan masalah jika pemilik unit kondo itu memilik tiga hingga empat kereta atau lebih. Kerana itu ramai yang parkir di jalan-jalan persekitaran kondominium. Akibatnya jalan pula jadi sesak.

Asas pembinaan parkir bertingkat ialah satu perempat, atau empat unit rumah PPR atau PA bersamaan sebuah kereta, daripada jumlah unit yang disediakan dalam sesuatu kawasan. Jumlah petak parkir yang disediakan keseluruhannya dalam lingkungan 80 hingga 300, bergantung kepada lokasi PPR dan PA serta jumlah penghuni.

Apa kriteria digunakan oleh DBKL untuk membuat formula seperti ini? Terasnya kembali kepada matlamat pembinaan PPR dan PA iaitu untuk memenuhi keperluan kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.

Daripada situ, formula ditetapkan berdasar status penyewa yang terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan miskin bandar. Disimpulkan, tidak ramai daripada golongan ini memiliki kenderaan. Mungkin ramai memiliki motosikal atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun menurut DBKL, arah aliran ini dilihat berubah sejak 2010 apabila jumlah kenderaan di kawasan PPR dan PA didapati naik mendadak. Punca utamanya ialah pertumbuhan generasi dalam sesuatu keluarga.

Sebagai contoh, pada peringkat awal mungkin ketua keluarga tidak memiliki kenderaan. Tetapi apabila anak-anak berjaya dalam pelajaran dan memperoleh jawatan yang bagus serta pendapatan tinggi, mereka membeli kenderaan. Pada Adi ini satu perkara biasa.

Mungkin dalam satu keluarga ada dua tiga orang yang membeli kenderaan dan mereka tetap tinggal bersama ibu bapa. Bagaimana jika banyak keluarga? Tentulah lebih banyak kenderaan. Maka sudah pasti petak parkir disediakan tidak cukup. Terpaksa juga parkir di kawasan sekeliling PPR dan PA yang juga tidak mencukupi.

Selain itu ada pula orang asing ramai menumpang parkir di PPR atau PA kerana mereka tidak ada tempat khusus untuk parkir. Lalu cara mudah ialah menumpang parkir di PPR dan PA kerana ia dianggap longgar dan tidak ada penguatkuasaan. Siapa cepat dia dapat.

Kerana itu pelbagai jenis kenderaan dilihat diparkir termasuk bas dan van. Semuanya diletak sesuka hati termasuk parkir berganda, menyusahkan pergerakan orang ramai serta menambah kesesakan.

Berdasarkan tinjauan media yang Adi baca, penduduk PPR dan PA setuju serta menyambut baik pembinaan parkir bertingkat. Mereka sudah letih dengan masalah yang dihadapi setiap hari. Bukan semakin berkurang tetapi semakin bertambah sejajar dengan pertambahan kenderaan.

Secara keseluruhan, pertambahan kenderaan di ibu negara memang pantas, saban hari, minggu dan bulan banyak kenderaan baharu didaftar. Pasti ada di antaranya milik penghuni PPR atau PA. Jadi bukan sahaja kawasan kediaman berkenaan sesak dengan kenderaan, malah jalan-jalan di ibu kota yang memang sering sesak bertambah sesak.

Namun Adi difahamkan, penghuni tidak mahu dikenakan bayaran jika kemudahan parkir disediakan. Dilaporkan ada penghuni di kawasan yang sudah ada parkir bertingkat tidak menggunakan kemudahan yang disediakan kerana tidak mahu dikenakan bayaran.

Pada Adi sikap begini tidak wajar. Kerajaan berbelanja untuk menyediakan kemudahan. Jika dikenakan sedikit bayaran memang munasabah kerana bayaran itu juga yang akan digunakan untuk perbelanjaan penjagaan dan menambah baik parkir berkenaan. Semua untuk kepentingan penghuni. Jadi janganlah terlalu berkira.

Adi — Bangga jadi warga kota

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas