Selebriti

Walaupun sakit, Wings tetap memukau… Warga Petaling Jaya terhibur

Sharipah Marhaini Syed Ali.|||
- Diterbit 18 Disember 2022 12:59 AM MYT

KUMPULAN legenda rock Malaysia, Wings tetap mempersembahkan yang terbaik dan memukau penonton dalam Konsert Wings Ceritera Rakyat di Dataran Petaling Jaya, meskipun tidak berapa sihat.

Wings dipilih sebagai artis penutup Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) yang berlangsung selama enam hari bermula 28 November dan berakhir 3 Disember lalu.

Awie dan anggota Wings yang ditemui selepas konsert memaklumkan mereka diserang sakit sebaik tiba dari Tanah Suci Makkah beberapa hari sebelum itu.

“Kami merasa cukup teruja kerana pihak MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) sudi mengundang kami untuk turut serta dalam festival berbentuk kebudayaan kepada masyarakat, apatah lagi ia diadakan secara percuma.

“Walaupun tidak berapa sihat, demi janji yang dibuat dengan Datuk Bandar, maka kami laksanakan. Ini adalah amanah dan perlu digalas kami semua.

“Apa yang lebih membuat kami tersentuh adalah peminat tidak berganjak untuk terus menyaksikan persembahan kami meskipun hujan lebat,” katanya.

ANGGOTA Wings bersama Mohammad Azhan dan timbalannya, Sharipah Marhaini Syed Ali.

Manakala Datuk Bandar MBPJ, Mohammad Azhan Md. Amir pula berkata, pihaknya bersyukur kerana Wings menjadi daya penarik kehadiran ramai peminat pada malam terbabit.

“Ini adalah manifesto kasih sayang kami kepada seluruh penduduk Petaling Jaya. Walaupun hujan peminat tetap menunggu Wings kerana nak menyaksikan persembahan mereka,” katanya.

Pada acara pembukaan konsert, Wings yang dianggotai oleh Datuk Awie (vokal), Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) tampil dengan lagu pertama, Peronda Jaket Biru dan diikuti Jumpa Hilang.

WALAUPUN hujan, peminat yang hadir tetap setia dengan Wings.

Memandangkan masa agak terhad, Wings segera menyampaikan lagu-lagu seterusnya iaitu Biarkan Berlalu, Bernafas Dalam Lumpur, Romania, Lipas Kudung dan Sejati.

Seperti biasa, Awie tidak menghampakan permintaan peminat yang mahukan lagu bonus sebagai penutup dengan memilih menyampaikan lagu Harapan sekaligus meninggalkan kenangan manis buat kira-kira 10,000 peminat yang hadir.

Pelancaran Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Dan Orang Asli Negeri Selangor, Hee Loy Sian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas