Berita

Wai Ching ungguli Vietnam HCMC Skyrun

- Diterbit 31 Oktober 2022 8:01 AM MYT

JAGUH larian menara negara, Soh Wai Ching meneruskan pencapaian luar biasanya apabila mengungguli 2022 Vietnam HCMC Skyrun, di Ho Chi Minh City, semalam.

Wai Ching muncul juara keseluruhan selepas mencatat masa 4 minit 54 saat (s) di Bitexco Financial Tower, Ho Chi Minh City, meninggalkan saingan rapatnya dari Jepun, Takaaki Koyama di tempat kedua (5:35s) dan tempat ketiga milik atlet tempatan, Le Thanh Hung (5:57s).

Lebih manis, Wai Hing turut membantu Persatuan Larian Menara Malaysia memenangi saingan dalam acara berpasukan bersama dua lagi atlet, Low Keng Yik dan Ervin Nuing Smail dengan catatan 6:56s.

Pasukan Run Junior terdiri daripada Tran Quoc Anh Hao, Do Khanh Duy dan Tai Henry meraih tempat kedua, manakala Nguyen Nham Phat, Nguyen Son Ha dan Pham Ngoc Phat daripada pasukan VILO di tempat ketiga.

“Saya rasa gembira dan puas hati dengan catatan masa hari ini (30 Okt). Pertandingan kali ini memang hebat kerana terdapat ramai pelari terutama daripada tuan rumah selain dari Jepun,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi bersama media.

Sebelum ini, Wai Ching mencipta sensasi apabila menjuarai empat larian menara berturut-turut di Amerika Syarikat (AS).

Atlet berusia 28 tahun itu memenangi larian menara US Bank Tower di Los Angeles pada 30 Sept, diikuti Space Needle Tower di Seattle pada 2 Okt, sebelum mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Empire State Building Run-Up di New York pada 6 Okt dan melengkapkan jelajah AS dengan mengungguli Tunnel to Towers Tampa, Florida pada 8 Okt. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas