Berita

China gubal undang-undang pelihara sungai

- Diterbit 31 Oktober 2022 7:56 AM MYT

UNDANG-UNDANG Pemeliharaan Sungai Kuning yang diluluskan dalam pengundian pada sidang ke-37 Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-13 bakal berkuat kuasa pada 1 April 2023.

Undang-undang terbabit merangkumi perancangan dan kawalan; pemeliharaan dan pembaikan ekologi; penjimatan dan penggunaan sumber air; kawalan air pasir dan keselamatan banjir; dan pencegahan dan kawalan pencemaran.

Turut terkandung dalam undang-undang itu ialah menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi; perlindungan, pewarisan dan pemupukan kebudayaan sungai; jaminan kawal selia; dan kewajiban di sisi undang-undang.

Undang-undang berkenaan bertujuan menjamin pemeliharaan ekologi kawasan aliran Sungai Kuning dan pembangunan berkualiti tinggi berdasarkan penguatkuasaan perundangan.

Memandangkan ketidakstabilan ekologi alam sekitar antara masalah terbesar yang dihadapi, China akan meningkatkan usaha penjagaan landskap di kawasan aliran sungai di samping memperincikan pemeliharaan dan pembaikan ekologi selain memperhebat tindakan menangani pencemaran secara bersepadu dan sistematik.

Mengenai kekurangan sumber air, China akan mengoptimumkan keefisienan air pertanian, menghemat air perindustrian dan mengurangkan pelepasan air kumbahan serta meminimumkan kerugian air kegunaan awam dalam bandar sebagai langkah menjimatkan sumber air.

Selain itu, banjir dilihat sebagai ancaman paling teruk di kawasan aliran berkenaan sekali gus menyaksikan China akan memperhebat penyelarasan sistem pencegahan dan kawalan banjir antara pelbagai kawasan aliran, mendorong pencegahan banjir, kemarau dan isikel di hulu, tengah dan hilir bagi membentuk sistem bersepadu saintifik dan berkecekapan tinggi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas