Berita

Usahawan kecil tarik nafas lega terima bantuan BMTKM di Labuan

NURHAFIZAH bersama suaminya menerima bantuan stall yang mampu meningkatkan lagi pendapatan melalui perniagaan burger yang telah diusahakan secara sepenuh masa sejak 10 tahun lalu.
- Diterbit 25 November 2022 4:02 AM MYT

SEBAHAGIAN besar penerima bantuan Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Pulau Bebas Cukai ini menarik nafas lega kerana inisiatif itu membantu meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Program di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang telah mula dilancarkan pada awal September lalu memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tegar dalam kalangan Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin tegar di seluruh negara pada akhir tahun 2025.

Seorang penerima Mudi Embuk, 41, menyifatkan bantuan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha meningkatkan hasil pendapatan bagi menyara keluarganya.

Beliau yang sebelum ini bekerja di sektor minyak dan gas terpaksa mengharungi detik yang mencabar akibat hilang pekerjaan ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Selepas hilang pekerjaan, saya menceburi bidang kimpalan besi dan logam. Saya mengambil keputusan untuk menjadi usahawan sepenuh masa dalam bidang kini kerana sebelum ini hanya mengambil upah dalam menjalankan kerja-kerja kimpalan besi.

“Melalui sumbangan mesin kimpalan yang diberikan oleh pihak kerajaan, hasil pendapatan saya akan meningkat dan sekali gus memberikan saya ruang dan peluang untuk melebarkan lagi perkhidmatan ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Wilayahku, baru-baru ini.

Mudi berkata beliau menerima barang bantuan mesin kimpalan pada awal bulan Oktober dan memulakan perniagaan dengan mengambil upah daripada projek yang diusahakan bersama rakannya.

“Pada waktu itu, pendapatan yang diterima dalam anggaran RM300 sahaja kerana menggunakan peralatan rakan.

“Melalui mesin ini, saya boleh mencapai pendapatan lebih sedikit dan penghasilan produk yang pelbagai mengikut skop kerja kimpalan seperti membuat pintu, gril dan gril tingkap,” katanya.

Bagi Nurhafizah Ruji, 32, yang mengusahakan perniagaan burger secara sepenuh masa menzahirkan kesyukuran kerana layak menerima bantuan tersebut yang dilihat mampu memberikan peningkatan dari segi hasil pendapatan malahan pengetahuan dalam bidang perniagaan.

“Pihak kerajaan telah menyenaraikan nama saya dan kelulusan diberikan untuk mengusahakan perniagaan burger melalui pemberian gerai.

“Alatan yang diberikan ini sudah pasti menjadi pembakar semangat kami untuk terus berusaha meningkatkan kehidupan keluarga kami,” katanya.

Beliau yang telah berniaga bersama suami sejak 10 tahun di Taman Perumahan Mutiara menggunakan jenama Rusli Burger berjaya memperolehi pendapatan sebanyak lebih RM2,000 sebulan.

Terdahulu, sejumlah RM577,535 diperuntukan bagi BMTKM Labuan fasa pertama dengan menerusi projek rintis yang melibatkan dua lokaliti iaitu Patau-Patau dan Sungai Bedaun. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas