Berita

Warga KL gembira DBKL lanjut tawaran sewa Rumah Majlis

MAHADI (kiri) ketika meninjau rumah contoh Residensi Sungai Udang di Segambut baru-baru ini.
- Diterbit 25 November 2022 4:30 AM MYT

RATA-RATA warga Kuala Lumpur melahirkan rasa teruja apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh permohonan tawaran penyewaan unit kediaman dan komersial Rumah Majlis Residensi Sungai Udang di Segambut sehingga 29 November 2022.

Tinjauan Wilayahku di laman sosial Facebook DBKL mendapati mereka bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi setelah terlepas tarikh akhir permohonan yang dibuka sejak 7 Februari lalu.

“Masih bukak lagi ke? Saya teringin duduk sini,” ujar Nur Sazrina.

Ia turut diakui oleh Lily Sophillea Nazryn yang berharap permohonannya untuk menyewa unit Rumah Majlis Residensi Sungai Udang diterima.

Sementara itu, bagi Danish Yaqzan pula, kawasan tersebut bukan sahaja strategik bahkan ia sangat berbaloi memandangkan harga sewa RM850 sebulan agak rendah.

SALAH satu ruang bilik tidur di kediaman Rumah Majlis.

“Saya dah masuk tengok rumah. Memang cantik. Selesa untuk empat hingga lima orang ahli keluarga,” ujarnya yang turut berpuas hati dengan fasiliti yang ditawarkan.

Tidak ketinggalan juga Marzuki Zulkifli yang menyifatkan harga tersebut jauh lebih rumah dengan rumah sewa lain di sekitar Kuala Lumpur memandangkan lokasi tersebut terletak di tengah bandar.

Dalam masa yang sama, DBKL turut menyeru mereka yang telah melengkapkan borang untuk mengembalikannya ke alamat Unit Penyewaan Tanah dan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, DBKL, Tingkat 14, Menara Bumiputra Commerce, No 11, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-2617 1060/ 1061/ 1062 /1063 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Terdahulu, ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penyewaan Residensi Sungai Udang Segambut baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menjelaskan sebanyak 800 permohonan untuk sewaan diterima setelah tawaran ditutup baru-baru ini.

Walaupun begitu, ia masih dalam proses tapisan berdasarkan syarat dan kriteria ditetapkan yang dikhaskan untuk golongan B40 sampai M40 secara sewaan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas